KADANG kita merasakan sudah cuba membuat sesuatu dengan terbaik. Pelbagai usaha sudah dilakukan, tapi akhirnya hampa.

Rasa lelah, putus asa yang menggunung hingga segumpal besar perasaan itu umpama hanyut terdampar di lautan sepi. Terbiar tanpa siapa peduli.

Dan akhirnya, dalam hati berkata, ‘Persetankan dengan semuanya. Aku dah tak kisah. Biarlah apa nak jadi dengan diri ini. Biarkan apa nak jadi! Biarkan…biarkan…biarkan…

Ketahuilah, apabila sebaik mempunyai perasaan berputus asa atau ‘down‘ itu, anda mempunyai dua pilihan:

1) terus melakukan apa yang mahu dilakukan, atau

2) melakukan sesuatu dengan mencuba sesuatu yang baharu atau berubah!

Ya, lazimnya pilihan kedua itu tidaklah begitu mudah. Itulah sebabnya Sinar Plus mencadangkan 10 perkara yang boleh dilakukan apabila anda berasa mahu memancarkan semula senyuman di wajah.

1. Berhenti beri tekanan pada diri sendiri

Kita meletakkan banyak tekanan pada diri sendiri. Walaupun bagus untuk bercita-cita tinggi, kadang-kadang ada masanya perlu duduk, cermin semula diri dan mengenali semua perkara baik yang anda lakukan sekarang.

Oleh itu, apabila berasa kecewa, cubalah ini:

– Fikirkan perkara-perkara dalam kehidupan yang membuatkan kita bersyukur. Fokus pada apa yang kita ada, bukan apa yang kita tidak lakukan atau tiada.

– Berhenti memberi begitu banyak tekanan pada diri anda. Bersemangat dengan siapa diri kita sekarang pada masa ini. Dan ingat, kebahagiaan adalah pilihan.

2. Bangun dan bergerak

Salah satu cara terbaik untuk bagi berhadapan hari yang sukar adalah dengan bangun daripada duduk terperuk di satu-satu tempat. Lakukanlah pergerakan terutamanya dengan senaman.

Sebagai contoh, pergi ke luar dan berjalan kaki. Menunggang basikal di sekitar blok perumahan anda. Pergi ke gim (Namun tidak sesuai pada Perintah Kawalan Pergerakan -PKP ini).

Jangan hanya berkubang di atas katil. Jika hanya itu yang anda lakukan, minta maaflah pada diri sendiri kerana sesungguhnya anda telah menyeksa fizikal dan batin sendiri.

Bangun dan bergeraklah supaya mendapat ‘angin’ baharu.

3. Dekatkan diri anda dengan orang yang anda suka

Keluarga dan kawan-kawan boleh menjadi ubat terbaik apabila anda mempunyai blues.

Walaupun tidak dapat melihat mereka secara langsung, angkat telefon dan hubungilah orang yang anda sayangi.

Kadang-kadang apa yang kita perlukan adalah kawan untuk mendengar dan membantu mengeluarkan perkara menyempitkan dada kita.

4. Cari jalan untuk ketawa

Kita kadang-kadang terlalu serius. Tapi mari letakkan perspektif ini: bagaimana perasaan sewaktu saat kecil dahulu. Selalunya banyak perkara gembira dialami dalam hidup ketika itu.

Bukankah hidup ibarat roda. Takkanlah sepanjang masa kita bersedih. Justeru ingatilah saat gembira itu bagi menghilangkan lelah buat seketika.

Ketahuilah bahawa kesedihan adalah sementara, manakala ia adalah pilihan sendiri. Barangkali pilih untuk ketawa dengan dengan menonton pertunjukan lucu, filem, atau video kegemaran anda secara dalam talian.

5. Makan sesuatu yang sihat

Tebak apa yang kebanyakan orang makan ketika mereka rasa down? Betul, makanan ringan!

Tapi…tapi… tapi… Bukankah itu amat tidak sihat dan ia mempengaruhi kesihatan anda hingga menambah tekanan?

Makanlah makanan sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kacang, dan biji.

Mengambil makanan ringan yang sihat dapat membantu anda berasa lebih baik dan mengisi badan anda dengan nutrien yang betul. Itukan lebih baik.

6. Sedut nafas dalam-dalam

Memfokuskan pada pernafasan mungkin dapat membantu anda daripada berfikir yang tidak-tidak.

Menurut artikel bertajuk Teknik Pernafasan, MyHealth, semasa stres, pernafasan kita akan menjadi cepat tanpa kawalan.

Dengan mengamalkan teknik pernafasan yang betul, kita boleh menjadi lebih tenang ketika berhadapan dengan situasi yang tegang.

Ia dapat meningkatkan pertukaran antara oksigen dan karbon dioksida, meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan ketegangan.

Latihan teknik pernafasan dapat dilakukan dengan memilih satu keadaan yang tiada gangguan dan selesa.

-Tarik nafas perlahan-lahan.

Iklan

-Terapkan perasaan lega setiap hembusan nafas keluar.

-Ulangi langkah-langkah tersebut sehingga anda merasa
tenang dan relaks.

-Gerakkan kedua-dua belah bahu ke arah telinga dan turunkan perlahan-lahan serta pejamkan mata dengan kuat sehingga berasa lega bayangkan suasana yang nyaman. Semasa melakukan senaman, dapatkan alunan muzik yang menenangkan.

-Anda boleh menadunkan senaman pernafasan setiap kali selepas relaksasi otot yang terlibat secara berseleng seli.

-Pejamkan mata dengan kuat sehingga berasa lega.
Anda harus merasa gembira dan selesa dengan hasil usaha relaksasi anda .

7. Luangkan masa dengan haiwan

Menurut artikel Wan Zahari, Mohd Hamim dan Abdul Rahman dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Fakulti Perubatan, Universiti Institut Teknologi MARA (UITM), Shah Alam, terdapat hubungan manusia dan haiwan.

Ia dinyatakan dalam tulisan mereka yang bertajuk Hubungan Manusia Dengan Haiwan Dalam Warisan Perubatan dan Kepentingan Haiwan Dalam Aspek Pemakanan dan Kesihatan Manusia.

Dapatan artikel mereka menyebut, haiwan peliharaan terapeutik dan mereka pintar; dapat merasakan apabila seseorang sedih.

Walaupun anda tidak mempunyai seekor anjing, kucing, atau haiwan peliharaan, anda mungkin mempunyai kawan yang melakukannya.

Oleh itu, cubalah meluangkan masa di sekeliling haiwan. Mana tahu mengurangkan tekanan anda.

8. Lakukan sesuatu yang spontan dan menarik

Iklan

Anda mungkin tidak suka berbuat banyak. Tetapi salah satu cara terbaik untuk membebaskan fikiran tentang perkara negatif yang menjengkelkan adalah untuk keluar dan melakukan sesuatu yang benar-benar spontan.

Buat beberapa perkara gembira dalam hidup anda. Jika gemar melukis atau berkebun, mengemas, mencuba origami dan sesuatu yang anda rasa mahu buat, tetapi tidak pernah mencuba, apa kata kali ini cuba lakukannya.

Mana tahu dapat menghilangkan rasa down anda itu.

9. Baca sesuatu yang inspiratif

Jangan tak tahu, menurut laman web inspirasi lifehack.org, sepatah ayat pun mempunyai kuasa untuk menyembuhkan dan mengurangkan rasa down itu.

Cubalah membuat carian di internet dan cari petikan inspirasi. Tonton ucapan dari pemimpin terkenal dan inspirasi yang anda kagumi. Atau baca buku yang bijak atau inspiratif.

10. Selesaikan semua perkara yang patut

Antara cara mudah untuk mengubah fikiran negatif apabila anda mengalami hari yang buruk adalah dengan melakukan kerja.

Sama ada kerja rumah, atau kerja pada projek yang anda sukai, dapatkan kerja yang dilakukan akan membantu anda merasa produktif dan membebaskan minda anda.

Sebagai orang Islam pula, ‘kerja’ yang patut anda lakukan adalah menunaikan kewajipan dengan mengingati-NYA. Adakah anda sudah melakukan suruhannya ketika artikel ini dibaca?

Belum solat? Maka tunaikanlah!