SUKAR untuk menidakkan dalam institusi rumah tangga para isteri seringkali dimomokkan dengan ‘nasihat‘ usah mempercayai suami 100 peratus.

Ramai bimbang dikhianati pada kemudian hari. Namun begitu, Pakar Tulisan Tangan dan Pembangunan Karakter, Dr Azura Hashim pula bersikap sebaliknya.  Beliau cuba menepis stigma negatif tersebut kerana menyifatkan dalam hubungan suami isteri, kepercayaan harus disemai dengan baik.

“Tidak dinafikan pada zaman muda, saya acap kali mendengar nasihat supaya jangan terlalu mempercayai suami. Bagaimanapun, seiring dengan pertambahan usia dan kematangan, saya berasakan para isteri wajar meletakkan kepercayaan kepada suami masing-masing.

“Mengapa? Apabila golongan isteri sentiasa berfikiran perkara negatif dan wujud syak wasangka, kita bimbang lama-kelamaan akan jatuh fitnah terhadap suami. Wanita pula akan berasa sakit hati dan perit,“ katanya ketika ditemui Sinar Plus pada program bual bicara, Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 3 di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bicara Azura, dalam hubungan suami isteri ada pasang dan surutnya. Umpama bait lirik lagu seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P Ramlee  yang berbunyi: ‘sedangkan lidah, lagi tergigit, apa pula suami isteri‘.

Justeru, bagi membantu meredakan wanita daripada terus berprasangka terhadap suami, ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi, Teknik 3K iaitu ‘komunikasi, kasih sayang dan keberkatan‘.

Menurut Azura, keharmonian hubungan suami isteri dapat dikecapi sekiranya mempraktikkan komunikasi dua hala dengan baik. Para isteri yang berkomunikasi secara berhemah dan lemah lembut bukan sahaja memikat hati suami, bahkan mengikat tali kekeluargaan dengan lebih erat.

“Curahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada suami tercinta. Saban hari, pastikan tabung kasih sayang suami isteri sentiasa diisi dengan pelukan dan ciuman 20 kali sehari.

azura suami isteri
AZURA HASHIM

“Apabila komunikasi dan kasih sayang seiring, ia disusuli pula dengan keberkatan. Seperti yang kita sedia maklum aspek keberkatan ini sangat luas, tetapi paling utama untuk kebahagiaan keluarga, wajar memperoleh rezeki yang berkat,“ tutur isteri kepada Ahmad Firdaus Mahmod itu.

Kuasa media sosial

Usah dinafikan ‘kuasa‘ media sosial yang dilihat antara punca keruntuhan rumah tangga. Begitupun, Azura menzahirkan bahawa trend penggunaan gajet elektronik terdapat pro dan kontranya.

Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang telekomunikasi, menurut Azura, sekiranya penggunaan media sosial tidak diuruskan dengan baik, ia bukan sahaja menjejaskan kondisi kesihatan, tempiasnya juga pada keharmonian rumah tangga.

Para isteri, misalnya, mudah berasa curiga dan kurang keyakinan diri tatkala melihat suami asyik berdampingan bersama telefon pintar. “Perasaan (syak wasangka) ini dapat diatasi dengan melafazkan kata-kata, ‘Saya suka, saya terima dan saya reda‘.

Sebagai manusia kita hanya mampu merancang, berusaha dan bertawakal, namun Dia yang menentukan. Percayalah, apabila menyerahkan sepenuhnya kepada ALLAH, insya-ALLAH kita akan dijaga dengan baik.

“Suka saya nasihatkan, sekiranya hubungan suami isteri dilanda ujian jangan cepat melatah, sebaliknya bersabar. Ambil iktibar dalam Surah Ibrahim tentang mukjizat kesabaran,“ jelas Azura yang turut mendedahkan Teknik 3S merangkumi ‘sabar, syukur dan sesuatu akan berubah‘.

Terang Azura yang merupakan Pengarah Syarikat Medipro Ventures Sdn Bhd, biarpun berdepan konflik dengan suami, golongan isteri disarankan lebih banyak bersabar berbanding bertindak di luar kawalan.

“Jangan lupa dalam setiap kesabaran mempunyai keberkatan tersendiri. Perihal bergaduh atau berasa hati dengan suami adalah perkara kecil sahaja. Suami juga manusia biasa yang tidak lepas melakukan kekhilafan.

“Daripada terus memikirkan kesalahan para suami, lebih baik wanita mensyukuri nikmat yang ALLAH limpahkan. Yakinlah berkat sabar dan bersyukur itu akan hadir sesuatu dalam bentuk tidak disangka-sangka yang membantu mengubah hidup kita ke arah lebih baik,“ katanya lanjut. Sebelum menamatkan bicara, Azura sempat menitipkan nasihat untuk panduan para isteri supaya belajar mendalami ilmu agama Islam dan mengenali suami dengan lebih dekat.

Saban hari, lakukan solat sunat taubat dan berdoa semoga hubungan cinta suami isteri dan keluarga sentiasa dirahmati ALLAH.

 

PROFIL

Nama: Azura Hashim

Umur: 43 tahun

Asal: Klang, Selangor

Suami: Ahmad Firdaus Mahmod, 44 tahun

Anak-anak:

Iklan

– Harith Syahmi

– Hakimi Akmal

– Hadif Zakwan

– Amal Basyirah

Warna kegemaran: Merah

Idola: Nabi Muhammad SAW

Tip isteri apabila dicurangi suami yang dikongsi Azura:

– Sentiasa memaafkan

Iklan

– Bersabar

– Berdoa

– Memberikan peluang kedua.

– Berwaspada dengan mengambil iktibar pengalaman pertama

– Bersangka baik kerana ia akan menarik aura positif

– Berzikir Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Latiff dan Ya Rahman ketika menyediakan juadah atau minuman untuk suami tercinta.

– Zikir ALLAH akan menyalurkan energi kasih sayang