MEREKA bukan sahaja mahir memegang senjata dan amanah dalam menjaga negara, bahkan berkebolehan bermain alat muzik sambil melontarkan vokal memukau.

Klip video, Ramadan Datang yang dipersembahkan oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya, membuktikan pasukan keselamatan negara juga berbakat menghiburkan masyarakat.

Sejak dimuat naik di dalam laman sosial, YouTube RMP TV Channel semalam, klip video berkenaan telah mendapat respon daripada warga net. Rata-ratanya memuji dan terhibur dengan persembahan warga Sang Saka Biru terbabit.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook, Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), lagu khas bertajuk Ramadan Datang itu dihasilkan sempena menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.

“Lirik lagu ini telah digubah daripada lagu asal ‘Ramadhan Datang’ yang dinyanyikan oleh penyanyi, Tompi dari negara jiran, Indonesia.

“Tujuan lagu ini diilhamkan adalah untuk memberi mesej kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus kekal berada di rumah sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

“Langkah tersebut bertujuan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang sedang melanda negara,” jelas kenyataan tersebut semalam.

Lagu berkenaan dinyanyikan oleh penyanyi kombo PDRM yang merupakan bekas peserta program realiti, One In A Million, Alif Azfar Ishak dan Mesmoro.

Menariknya, selain bait-bait lirik yang sarat mesej positif ciptaan Senior Asisten Komisioner, Datuk Fadzil Ahmat itu warga net turut terhibur dengan gelagat salah seorang anggota dikenali Sarjan Usop.

Beliau mempamerkan aksi bersahaja dan ‘bersemangat’ tatkala bermain instrumen marakas.

Iklan
pdrm
MAJORITI warga net terhibur dengan aksi bersahaja pemain instrumen marakas dalam klip video, Ramadan Datang.

Menurut pemilik akaun, @Naufalettuw 96, warga PDRM bukan saja berkorban nyawa demi negara tercinta, malah pandai bermain alat muzik menghiburkan rakyat Malaysia.

“Syukur saya terhibur dengan MV (muzik video) ini. Part paling best minit ke 2:26,” katanya disusuli hashtag #respect #wirakita #kitajagakita

Sementara itu, @Anuar Khairul pula mencoretkan komen: “Terbaik Sang Saka Biru!!!. World class punya muzik. Semua elemen bergabung. Terbaik!!!.”

Iklan

Setakat ini, direkodkan klip video Ramadan Datang telah ditonton sebanyak 47,683 penonton dan mendapat 2,900 jumlah tanda suka.

Lagu: Ramadan Datang Polis Diraja Malaysia
Pancaragam Polis Diraja Malaysia
Penyanyi asal : Tompi
Lirik : SAC Dato’ Fadzil Ahmat
Sumber: YouTube RMP TV Channel