BULAN lalu, penulis berbual dengan seorang warga emas di sebuah hospital swasta. Kata lelaki yang berusia lewat 60-an itu, beliau teringin untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau seorang pesakit jantung sejak berusia 40-an. Katanya, disebabkan tidak ambil kisah soal pemakanan, penyakitnya semakin menjadi-jadi kini.

“Namun, belum ada rezeki nampaknya. Kawan saya pernah dirawat oleh Dr Beni dan alhamdulillah, banyak perubahan besar,“ katanya sambil menyelak sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Selaku pengamal media, nama Dr Beni Isman Rusani, 44, memang tidak asing lagi. Pakar kardiologi di IJN itu sering menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen dalam memberi komentar mengenai jantung.

Sepupu penulis yang juga seorang pakar perubatan turut mengakui kewibawaan Dr Beni.

Kata-kata positifnya kemudian telah mendorong penulis untuk menemu bualnya kerana beliau selayaknya menjadi teladan  kepada generasi muda yang berminat menceburi bidang perubatan. Ya, pada Khamis minggu lalu, kami bertemu di IJN.

“Maaf kerana menunggu, selamat datang ke IJN,“ tuturnya sopan sambil membawa penulis dan jurufoto ke biliknya.

Pengorbanan

Walaupun pertama kali bersua, momentum perbualan kami terus rancak. Tanpa bertanya, Dr Beni terus memberitahu: “Inilah bilik saya, jika saya on call dan perlu standby (siap sedia), saya tidur di atas tilam ini (tertawa kecil).“

Apabila transkripsi perbualan bersamanya dibaca semula, penulis betul-betul merasakan tugas seorang doktor memang berat dan tidak boleh dipandang enteng. Bagi penulis, tiada frasa yang dapat menggambarkan pengorbanan jitu mereka.

Ketika menemu ramah figura itu, soal jawab antara kami beberapa kali terhenti.Beliau bertalu-talu menerima panggilan daripada jururawat yang sentiasa mengemas kini keadaan pesakitnya.

Beliau menyambung perbualan semula. “Begitulah, rutin doktor terutama kami dalam kalangan doktor muda. Kami memang sibuk. Kadang-kadang tak sempat nak makan.

“Jadual tugasan juga tak sama setiap minggu, saya wajib penuhi aturan kerja yang ditetapkan walau apa jua keadaan. Namun, tak mengapa, asalkan pesakit saya sihat.

DR Beni (tengah) bersama rakan-rakan sekerjanya.

“Bab bersantai, adakalanya tak sempat beriadah dan bersenam. Jika ada masa, saya gemar berjoging selama setengah jam, diulang empat hingga ke lima kali seminggu.“

Anak bekas tentera itu berkata, atas kertas, beliau bercuti pada Sabtu dan Ahad. Pun demikian, beliau perlu sentiasa berada dalam mod siap sedia.

“Saya seboleh-bolehnya akan tidur enam hingga tujuh jam sehari, tapi pernah juga tak tidur seharian kerana dipanggil kerja,“ katanya yang sebelum ini berkhidmat di Hospital Kajang, Selangor.

Momen bermakna

Sesungguhnya, ujar Dr Beni, bergelar doktor sejak tahun 2003 telah memberi impak baik dalam kehidupannya. Mengapa? Jawabnya, ia berjaya mengubah karakteristiknya yang dulunya pendiam dan introvert menjadi lebih terbuka.

“Saya jenis tak banyak cakap. Namun begitu, apabila menjadi doktor, saya perlu berkomunikasi dengan pesakit dalam banyak hal, itu semua seperti ‘melatih‘ saya mengubah sisi peribadi saya ke arah lebih baik,“ katanya.

Oh! Ya, Dr Beni baru melangsungkan perkahwinannya bersama pilihan hatinya, Siti Amirah Syuhada Saiful Bahri pada tahun lalu.

BERSAMA isterinya, Siti Amirah Syuhada Saiful Bahri.

Kata Dr Beni, beliau bergelar doktor kerana mahu membantu masyarakat. Wang bukanlah menjadi taruhan utama.

“Saya masih ingat lagi, ketika di bangku sekolah, cikgu tanya apakah cita-cita saya sudah besar nanti? Saya kata, saya mahu jadi doktor,“ katanya.

Pun begitu, apabila meningkat dewasa dan sering melawat saudara-mara yang dirawat di hospital, nalurinya memang cenderung memilih untuk bergelar doktor.

“Saya juga sering tertanya-tanya apakah sebenarnya peranan seorang doktor dan jururawat. Persoalan yang sering bermain di minda saya itu juga antara  faktor kuat saya mahu menjadi seorang pengamal perubatan,“ katanya.

Ujar alumni Universiti Kebangsaan Malaysia itu, kardiologi merupakan satu bidang yang sangat menarik dan mencabar.

“Dalam kardiologi, ada banyak perkara baharu yang ditemui antaranya, rawatan-rawatan bersifat terkini yang diperkenalkan dari masa ke masa.

“Kardiologi sebenarnya bukan hanya berkisar tentang jantung, tetapi tentang rawatan-rawatan lain seperti Klip Mitra dan Implantasi Injap Aorta Transkatheter (ditawarkan di IJN),” katanya.

Lebih 17 tahun bergelar doktor sekali gus memenuhi cita-cita yang diimpikan sejak zaman kanak-kanak, apa yang beliau boleh rumuskan? Mendengar soalan itu, Dr Beni memandang ke satu sudut seolah-olah cuba mengingati kembali momen-momen lama.

Sambil menggenggam erat jari-jemarinya, Dr Beni berkata, bidang kedoktoran membawa banyak pengertian dalam hidupnya. Akui pakar itu, sehingga kini dirinya tidak boleh melupakan detik-detik membantu pesakit yang kritikal pada tahun lalu.

“Ketika itu saya berjaya merawat seorang lelaki berusia 65 tahun yang jatuh sakit ketika dalam perjalanan ke Korea akibat serangan jantung. Seusai menerima kata sepakat, pesakit berkenaan kembali semula ke Malaysia. Juruterbang syarikat penerbangan menghubungi paramedik lapangan terbang dan (setibanya beliau di Malaysia) pesakit terus dibawa ke IJN.

“Saya telah melakukan angiogram koronari kepadanya hingga pesakit itu berjaya dipulihkan. Lebih manis, lelaki itu adalah seorang doktor dan sudah biasa merawat saya ketika saya masih kecil di Kuantan!,“ katanya mengenang nostalgia bermakna itu.

Iklan

Penulis bertanya kepadanya, apa perkara lain yang membuatkan dirinya terkesan? Dr Beni kembali termenung. Dengan nada perlahan beliau berkata: “Perkara yang paling sukar untuk saya dan barangkali kepada para pengamal perubatan lain adalah ketika mahu menyampaikan berita buruk kepada ahli keluarga pesakit.

“Ia memang berat kerana raut wajah mereka membuatkan saya turut larut dengan perasaan duka. Ya, terus-terang, saya juga akan merasakan kehilangan (jika pesakit meninggal dunia). Kehilangan itu memang tak dapat ditafsirkan dengan kata-kata.“

Media sosial, penulis novel

Daripada perbualan serius, penulis menyentuh soal peranan media sosial dalam hidupnya.

Sebagai seorang pengamal perubatan yang memiliki 56,700 pengikut Instagram membuktikan beliau memang popular dalam kalangan warga maya. Angka menerusi Twitter lebih ramai iaitu 355,700 pengikut, sementara di Facebook, seramai 66,400 orang.

Mendengarkan perkataan ‘popular‘, empunya badan tersenyum penuh makna.

“Memang ramai yang ‘mengusik‘ saya dan gelarkan saya sebagai doktor selebriti. Sebenarnya, pada asalnya, penglibatan saya dalam sosial media hanyalah sekadar hobi dan aktiviti sampingan.

“Namun, apabila nasihat dan tip yang disampaikan saya melalui ciapan, status yang dimuat naik, video atau Instagram dan Facebook Story mendapat perhatian ramai, tiba-tiba timbul minat saya untuk mendidik masyarakat mengenai ilmu kesihatan yang ada melalui platform media sosial,“ akuinya.

SELAIN pakar kardiologi, Dr Beni (tengah) aktif di media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

Pada masa sama, kata pakar itu, di situ juga tempatnya menyanggah mitos-mitos tidak berasas yang dimomokkan masyarakat. Antaranya tidak boleh mandi malam, tidak boleh bersukan pada waktu malam termasuk pantang larang dalam pemakanan yang sama sekali tidak disebut dalam ilmu sains.

“Namun demikian, jika ia tidak mendatangkan apa-apa bahaya, saya tidak akan menafikan petua nenek moyang terdahulu, boleh amalkan jika tidak bercanggah dengan dunia perubatan tetapi jangan tinggal ubat yang diberikan,“ katanya.

Iklan

Perlukah seorang pengamal perubatan itu popular? “Tak perlu pun, namun bagi saya, jika populariti berkenaan digunakan secara betul ia tidak jadi masalah,“ jawabnya.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Dr Beni mempunyai sisi lain yang menarik dan barangkali membuat ramai terkejut. Selain hebat dalam bidang kardiovaskular, beliau juga berbakat menulis!

Kebolehan itu dibuktikan apabila figura tersebut berjaya menyiapkan beberapa buah buku. Naskhah berbahasa Inggeris yang bertajuk Breathe bukan sahaja menjadi bualan malah turut tersenarai dalam pencalonan Anugerah Dublin.

“Selain Breathe, saya bersama rakan-rakan lain menghasilkan buku bertajuk Diagnosis 2, Fobia dan Apocalypse. Salah satu daripada tiga buku tersebut telah diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke bahasa Indonesia,“ beritahunya yang membuatkan penulis turut teruja.

NOVEL Breathe hasil karya Dr Beni.

Nampaknya, topik buku dan penulisan membuatkan pakar itu kelihatan bersemangat. Ujarnya, beliau cenderung menulis mengenai kerjaya kedoktoran dan cerita yang diinspirasikan daripada kisah pesakit di hospital.

“Tulisan saya bukan mengenai perubatan semata-mata, saya turut selitkan elemen hubungan antara sesama manusia seperti anak dengan bapanya. Saya lebih suka nilai kemanusiaan menjadi watak utama dalam setiap penulisan saya,“ katanya.

Mengenai karya terbaharu, beliau sedang berusaha ke arah itu.

“Insya-ALLAH, kita tengok macam mana. Idea sudah ada dan menulis juga ambil masa. Bagi saya, dalam penulisan novel, tak perlu terburu-buru sebaliknya perlu konsisten,“ katanya.

PROFIL

  • Nama penuh: Dr Beni Isman Rusani
  • Umur: 44 tahun
  • Asal: Kuantan, Pahang
  • Tarikh lahir: 4 Februari 1976
  • Tempat lahir: Kuching, Sarawak
  • Adik-beradik: Anak ketiga daripada lima orang
  • Pendidikan: Sarjana Muda Biologi Manusia, Universiti Auckland, New Zealand (2000), Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Universiti Auckland, New Zealand (2002), Sarjana Perubatan Dalaman,  Universiti Kebangsaan Malaysia (2011), Fellowship dalam Echocardiography di Pusat Jantung Nasional Singapura (2018)
  • Hobi: Bersantai di kedai kopi, menulis dan membaca
  • Warna kegemaran: Biru dan kelabu
  • Moto hidup: ‘Do our best and leave the rest to God’
  • Instagram: @drbenirusani
  • Twitter: @drbenirusani
  • Facebook: Dr Beni Rusani