MEMAHAMI situasi pasukan perubatan berdepan masalah kekurangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dalam menangani pesakit Covid-19, pereka fesyen terkemuka negara, Datuk Radzuan Radziwill hadir menghulurkan bantuan.

Berbekalkan kemahiran dimiliki, beliau mengambil inisiatif menjalankan tanggungjawab sosial dengan menghasilkan PPE di kediaman peribadi sebelum dihantar ke beberapa hospital di sekitar Lembah Klang.

Menerusi sebuah video berdurasi 5.46 minit yang dimuat naik di dalam laman sosial Facebook hari ini, beliau berkongsi pengalaman dan proses sepanjang melaksanakan kerja amal tersebut.

Menurut Radzuan, berikutan mempunyai kelapangan masa berada di rumah dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka beliau menggunakan kesempatan itu dengan menyiapkan bekalan PPE.

Peralatan berkenaan dihasilkan mengikut spesifikasi ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan.

Radzuan Radziwill
MATERIAL yang digunakan Radzuan adalah mengikut spesifikasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Foto: Facebook/Radzuan Radziwill

“Hari ini kita (masyarakat) masih berada di rumah kerana tempoh PKP. Justeru, disebabkan terlalu banyak masa adalah ideal untuk saya melakukan aktiviti bermanfaat.

Iklan

“Berbekalkan kemahiran yang ada dan menggunakan material bersesuaian saya menjahit tujuh item PPE antaranya jaket panjang, sarung kasut, tudung dan topi bagi kegunaan frontliner (barisan hadapan),” katanya sambil menunjukkan cara-cara pembuatan bekalan peralatan perubatan terbabit.

Dalam pada itu, menerusi video berkenaan beliau juga mengalu-alukan golongan wanita yang mahir menjahit dan mempunyai mesin jahit untuk turut serta menjayakan misi murni tersebut.

Iklan
radzuan radziwill
RADZUAN (kiri) mengalukan-alukan golongan wanita yang mahir menjahit untuk turut serta menghasilkan PPE. Foto: Facebook/Radzuan Radziwill

“Anda hanya perlu mahir dan mempunyai mesin jahit. Saya akan bekalkan sample (contoh pakaian PPE), material dan getah. Barangan ini akan dihantar kepada anda menggunakan perkhidmatan penghantaran, Lalamove.

“Kemudian, stok yang sudah siap akan dihantar kembali kepada saya (juga mengunakan Lalamove) untuk proses kawalan kualiti,” ujar beliau yang turut mendapat kerjasama rakan seperjuangan pereka tempatan, Salikin Sidek dan Qudyn Aziz.