BAHAGIA duduk sini, jauh dari orang kampung. Dulu masa sekolah ada lah orang kata dah la makan sampah, bau busuk, padahal tak ada pun.”

Itu beritahu seorang penuntut kolej ketika dikunjungi oleh pendakwah yang tidak asing lagi dalam membantu golongan susah di merata negeri iaitu Ustaz Ebit Lew.

“Sekarang belajar di mana? Ambil course apa?,” soal UEL.

“Belajar di Kolej Komuniti ambil course Logistik,” jawab penuntut wanita itu tenang di samping nenek dan ahli keluarga terdekatnya.

PENUNTUT wanita berkenaan (kiri) bersama nenek dan keluarga terdekatnya yang tinggal hanya di sebelah kawasan tempat pelupusan sampah yang luas.

Sayunya dalam video dikongsikan UEL, kawasan dihuni keluarga itu adalah di sebelah selautan sampah. Turut sama tinggal di situ anak-anak kecil.

Tiada tandas, kecuali elektrik

Ketika UEL berjumpa mereka pun, dalam video yang dikongsikan, terlihat kelibat lalat-lalat yang turut berterbangan berhampiran mereka. Bagaimana agaknya mereka tinggal di situ selama ini?

“Adik tahu tak kenapa ALLAH uji?,” antara soalan UEL lagi.

“Sebab ALLAH sayang,” kata penuntut itu lagi.

Mengharukan, menurutnya sebelum ini sering mengikuti perkembangan UEL.

“Ini rupa ustaznya.. dia ada cerita pasal ustaz. Ustaz ni baik. Sekarang tak sangka ada kat depan,” kata nenek penuntut itu pula.

Kongsi UEL, kisah cucu dan nenek serta keluarga yang tinggal di kawasan itu antara yang membuatkannya menangis.

Rupanya sudah 20 tahun mereka tinggal di situ dalam pondok kecil tanpa tandas!

“Tinggal di tempat pembuangan sampah yang besar. Ada tiga longgokan sangat besar sampah. Ada 3 pondok kecil di situ yang tiada tandas pun.

“Takde rupa rumah langsung. Sedihnya rasa.. Jika ingin mandi mereka ke surau berdekatan. Tadah air. Makcik tua umur 70-an bersama anak cucunya di situ selama 20 tahun di Pasir Mas Kelantan.

“Jika hujan lebat habis air naik dengan sampah-sampah. Tak patut ada sesiapa tinggal di situ.

“Sebaik sampai mereka semua kenal saya. Adik tu menangis. Umur 19 tahun belajar kolej. Betul ke Ustaz Ebit Lew ini? Makcik tu sakit dah uzur. Tak kuat nak berjalan. Mereka kenal saya. Baik-baik adik-adik ni. Ujian mereka,” katanya.

Iklan

Menurutnya ada juga antara keluarga itu yang tidak habis sekolah. Tapi serius semua adik-adik itu katanya baik-baik.

Kisah mereka terasa masa beliau pernah rasa susah dulu. Rasa rendah diri dan malu nak jumpa orang.

“Saya pujuk mereka untuk pindah dan saya nak bayar semua sewa dan bil api air insyaAllah. Mereka setuju nak pindah. Terharu nak pindah. Tak sangka senang ajak. Ya ALLAH maafkanlah saya lambat jumpa keluarga ini. Setelah 20 tahun mereka lalui semua ini. Saya rasa berdosa dan bersalah yang amat sangat.

“Terima kaseh kak RajaAnita tunjukkan jalan tadi dan ada membantu hantar barang dapur. Terima kaseh JKM dan zakat hadir membantu mereka barang dapur. Terima kaseh penghulu dan ketua kampung.

“Terima kaseh ajk masjid yang ambil tahu keadaan keluarga ini. Mei ini bermula bantuan untuk mereka daripada JKM insyaAllah.
Saya tahu pasal mereka awal Ramadan. Tapi baru hari ini sampai. Maafkanlah saya ya ALLAH. Ampunkan dosa saya. -ebitlew,” kongsi UEL di Facebooknya baru-baru ini.

Iklan

UEL berjaya mencarikan rumah yang dibayarkannya sewa untuk keluarga itu pada hari yang sama beliau mengunjungi keluarga terbabit.

Lihatlah, di tempat pembuangan sampah pun masih ada insan yang boleh menuntut ilmu. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.

Kesusahan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk terus di takuk sama.

Harapan SinarPlus semoga adik itu nanti dapat membantu mengubah nasib keluarga. Sekali lagi, terima kasih UEL, moga ALLAH jua yang membalas kebaikan yang diberikan kepada keluarga itu. -AG #rantaiankasih