BIARPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa ketiga, namun segelintir masyarakat bagaikan memandang enteng arahan kerajaan.

Keadaan di jalan raya misalnya, masih bersesak dengan sejumlah kenderaan. Situasi itu bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur, Selangor, Kota Kinabalu, Sabah bahkan di Seremban, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali.

Walhal, seperti yang kita sedia maklum pelaksanaan PKP memerlukan masyarakat duduk di rumah bagi memerangi penularan dan memutuskan rantaian Covid-19. Bukannya ke sana, ke sini tanpa urusan penting.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian salah seorang barisan hadapan pasukan perubatan.

Menerusi status yang dimuat naik di dalam laman sosial Facebook, Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan, Dr Ahmad Luqman Bukhari menitipkan pesanan.

covid 19
DR AHMAD LUQMAN menasihatkan orang ramai kekal duduk di rumah dan mematuhi PKP bagi memerangi wabak Covid-19.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha melakukan yang terbaik bagi membendung wabak Covid-19.

Pun begitu, laluan kemenangan tersebut sukar untuk diperoleh tanpa kerjasama semua pihak khususnya masyarakat.

Jika orang ramai kekal duduk di rumah masing-masing secara tidak langsung ia membantu memerangi krisis virus terbabit.

Pada masa sama, langkah berkenaan turut meringankan beban pasukan perubatan negara yang kini berhempas pulas meredakan pandemik berisiko itu. Usah menzalimi perjuangan mereka.

“Pasukan perubatan tetap cekalkan hati walaupun ada yang sudah sebulan ‘terpisah’ dengan isteri. Ada jua baru seminggu menimang cahaya mata termasuklah isteri sedang sarat mengandung.

Iklan

“Mereka tetap cekalkan hati meskipun berada dalam suasana kerja berisiko tinggi terkena jangkitan maut termasuk bimbang terbawa pulang bencana ke rumah,” coret beliau.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Luqman turut menyatakan apabila masyarakat terus kekal berada di kediaman dan mematuhi PKP tidak mustahil kes positif dan kematian dek Covid-19 serta kawasan zon merah dapat dikurangkan.

covid 19
CORETAN Dr Ahmad Luqman yang dimuat naik menerusi Facebook beliau semalam. 

“Tolong kongsikan pesanan ini kepada ahli keluarga dan sahabat agar mereka beringat dan berhati-hati. Diharapkan kita jangan ambil mudah,” sarannya.

Iklan

Setakat ini coretan Dr Ahmad Luqman telah mendapat 8,000 jumlah likes, 1,700 komen dan dikongsi lebih 8,000 pengguna Facebook.

 

Foto: Facebook: Ahmad Luqman Bukhari, Seremban Page, Canva