BAGI menyambung tradisi makan nasi dalam talam yang diadakan pada setiap malam 27 Ramadan di Masjid Kapitan Keling, George Town, Pulau Pinang, Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMcom) membuat kelainan pada tahun ini dengan mengedar 1,000 pek agihan nasi berkat kepada orang ramai.

Presiden IMCom Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya tidak dapat mengadakan moreh atau makan beramai-ramai dalam talam sempena malam 27 Ramadan pada tahun ini yang menjadi tradisi sejak 200 tahun lepas.

"Kami mengedarkan agihan nasi berkat berupa nasi minyak berlaukkan ayam masak pedas, daging masak kicap, dalca dan acar sempena malam 27 Ramadan.

Iklan

“Kebiasaannya, kami akan meraikan acara ini pada malam hari bersama-sama dengan masyarakat Islam dengan makan nasi dalam talam melibatkan 2,000 orang selepas selesai menunaikan solat terawih.

"Tapi memandangkan negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKPB kita mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Jabatan Kesihatan dengan memberi makanan dalam bentuk bungkus untuk membolehkan masyarakat terus menikmati juadah nasi talam ini di rumah," katanya.

Iklan

Sementara itu, selain orang awam, pihaknya turut menyediakan 400 pek nasi berkat untuk petugas barisan hadapan yang akan diedarkan di lima balai polis di daerah Timur Laut, hospital, Rumah Warga Tua Jalan Kedah dan balai bomba.

BERNAMA