Tragedi Batang Kali: Jadikan malapetaka yang berlaku sebagai teladan, pengajaran berguna

SESUNGGUHNYA, penutup tahun 2022 tidak bersinar. Seluruh rakyat Malaysia bermuram durja. Tiada senyuman yang terukir pada bibir.

Masakan tidak, tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang dianggap paling terburuk dalam sejarah Malaysia begitu merentap jiwa kita sehingga kini.

Peristiwa yang berlaku di Father’s Organic Farm itu telah meranapkan tiga tapak perkhemahan di sana kira-kira pukul 2.30 pagi, 16 Disember lalu.

Sebanyak 92 mangsa dikesan. Hanya 61 orang terselamat, sementara 31 mangsa terkorban. Paling memilukan apabila ia melibatkan nyawa 13 kanak-kanak yang baru mahu mengenal dunia.

Berdasarkan rekod, insiden di Batang Kali itu merupakan kali ke-23 dilaporkan di negara ini.

Apabila saya menghadam satu persatu berita sedih di kaca televisyen dan di laman sosial, saya terlalu pilu dan sebak. Hati saya juga sakit.

Tragedi berkenaan sememangnya ibarat satu mimpi ngeri buat kita. Bagi saya, apa yang berlaku sepatutnya memberi amaran besar kepada pengusaha premis agar mematuhi undang-undang dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata dalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Baca ni ‘Saya bangga dan sayang ayah.’ Tak malu sarungkan baju kerja ayah dalam pertandingan di sekolah, kisah adik Auni bikin sebak!

Pada saat saya menulis kolum Pena Personaliti untuk SinarPlus ini pun, sanubari saya bergetar.

Bukan apa, sukar untuk saya bayangkan apa yang bermain dalam benak individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu? Tidakkah mereka terfikir tentang keselamatan dan nyawa orang lain? Penting sangatkah wang?

Perbuatan durjana mereka tidak hanya melibatkan manusia, tetapi juga harta benda. Kalau kita lihat, rata-rata kenderaan yang dipandu oleh mangsa musnah sama sekali. Tiada apa yang tinggal.

Hasil carian pasukan penyelamat, akibat remuk teruk, sebahagian kereta tidak dapat dikenal pasti model atau jenamanya. Betapa dahsyatnya bencana berkenaan.

Sekali lagi, fikiran saya terganggu apabila melihat situasi sedemikian. Kalaulah struktur kenderaan boleh hancur sebegitu rupa, bagaimana pula tubuh badan manusia?

Saya percaya, bukan sahaja saya yang beremosi, malah majoriti pembaca SinarPlus pasti merentas perasaan sama. Barangkali, pada ketika ini, kita masih tidak dapat nyahkan ingatan terhadap video-video menyayat hati yang ditonton.

JADI MATA & TELINGA

Saya akui, simpati dan kesedihan yang kita ekspresikan tidak boleh menghidupkan kembali mangsa yang telah pergi buat selama-lamanya.

Pun demikian, Tragedi Batang Kali sepatutnya dijadikan teladan kepada semua orang. Jadikan ia juga satu pengajaran berguna buat selama-lamanya.

Pada saya, pihak berkuasa perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan bertindak lebih tegas dari semasa ke semasa. Jangan beri muka kepada mereka yang melanggar peraturan.

Pastikan pemeriksaan berkala dilakukan di premis-premis pelancongan. Semak kesahihan perniagaan mereka. Kaji juga sama ada kawasan yang mahu dijadikan lokasi berlibur selamat dan bebas daripada malapetaka alam.

Kita sebagai penduduk juga perlu memainkan peranan. Jangan berpeluk tubuh sahaja. Ingat, tidak perlu takut untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

Jika anda tahu atau melihat terdapat ahli perniagaan, syarikat atau agensi yang terlibat dalam bisnes haram, terus majukan laporan, lebih-lebih lagi jika terdapat perubahan drastik terhadap sesuatu kawasan atau pembangunan yang dilaksanakan dengan cara yang mencurigakan.

Ironinya, tidak ramai yang tampil untuk berbuat demikian, sementelah ramai juga pengunjung dikatakan gemar berkunjung ke tempat yang tidak sah.

Kadang-kadang golongan itu sedar dengan risiko yang bakal ditanggung, tetapi hanya pejamkan mata sahaja gara-gara mahu mengejar keseronokan. Bagi saya, itu satu perbuatan yang tidak patut dan wajib diubah.

telefon pintar

Dunia sekarang cukup mudah. Untuk anda tahu sama ada premis liburan itu beroperasi berlandaskan undang-undang atau tidak, hanya di hujung jari sahaja.

Rajin-rajinkanlah diri untuk klik pada mana-mana laman web. Semua informasi sudah tersedia termasuk lokasi-lokasi yang dianggap berbahaya dan tidak digalakkan untuk dilawati.

Hasil pembacaan saya, Persatuan Aktivis Sahabat Alam memaklumkan, kawasan cerun di Batang Kali merupakan kawasan yang sensitif kepada pembangunan tanah.

Iklan

Ciri fizikalnya diliputi bukit batu granit yang dikelilingi Hutan Simpan Batang Kali iaitu hutan perlindungan tanah dan hutan taman negeri yang mempunyai dengan kecerunan sekitar 30 hingga 45 darjah.

Seperkara, kekerapan berlakunya bencana alam bukanlah kerana faktor semula jadi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kerakusan manusia yang bernafsu wang.

Baca lagi Pernah diperlekeh bina rumah terapung hadapi banjir, kini anak bangga usaha ayah berhasil. Inspirasi!

TERIMA KASIH HERO!

Kalau diikutkan, Tragedi Batang Kali sudah lebih tiga minggu lalu. Dari hati yang terdalam, saya berharap ingatan kita kepada mereka yang pergi tidak bernoktah begitu sahaja.
Waris masih meratapi kesedihan. Sesetengahnya dikhabarkan mengalami gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

wanita stres sedih

Tanyalah kepada mereka yang pernah mengalami PTSD. Tidak mudah sebenarnya untuk melupakan kenangan pahit. Ketakutan akan sentiasa menghantui. Adakalanya, sulit untuk melelapkan mata disebabkan terlalu memikirkan hal-hal terlalu menyedihkan.

Walaupun saya bukan seorang pakar, namun saya sangat memahami penangan PTSD. Nasihat saya, jangan terus biarkan kemelut tersebut terus mempengaruhi kehidupan harian anda.

Kuatkan semangat dan tabahkan hati untuk berjuang melawan perasaan negatif itu. Saya tahu, ia tidak semudah yang diungkapkan, namun jangan cepat berputus asa. Perlu cuba. Usah cepat mengalah sebelum berjuang.

Apa yang saya pasti, trauma boleh membawa kesan kepada kesihatan mental jikalau tidak ditangani sejak dari awal dan seharusnya tidak dibiarkan berlarutan lebih dari sebulan.

Iklan

Segeralah menjalani rawatan profesional bersama doktor pakar psikiatri atau ahli klinikal psikologi.

Sekiranya anda lambat berbuat demikian, saya takut, anda boleh mengalami boleh berdepan dengan komplikasi penyakit lain yang lebih teruk seperti kemurungan atau kebimbangan yang melampau.

Baca lagi ‘Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.’ Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya ‘tawan’ puncak KLC

Sumber gambar The Patriots

Coretan saya diakhiri dengan ucapan jutaan terima kasih kepada pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi yang bertungkus-lumus dalam menyelamatkan mangsa sepanjang misi mencari dan menyelamat di Batang Kali.

Pada masa sama, jangan lupa satu lagi ‘hero’ lain iaitu Unit K9 Anjing Pengesan dari Jabatan Siasatan Jenayah. Dua daripadanya ialah Leo dan Reed.

“Dari ‘raut wajah’ Leo dan Reed, dapat dilihat kesungguhan dan keletihan yang dialami oleh kedua-dua ekor wira tidak didendang ini, demi memastikan baki sembilan lagi mangsa yang hilang berjaya ditemui semula,” tulis Polis Diraja Malaysia menerusi laman sosial mereka baru-baru ini.

Sumber gambar Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Pernyataan itu membuatkan saya tersentuh. Saya terus mengharapkan agar waris mangsa terus tabah menempuh dugaan yang bukan calang-calang ini. Kecekalan anda semua memberi inspirasi kepada kami.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.