EMPAT tahun lalu, pada tanggal 16 September 2016, perginya Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang sangat dikenali ramai.

Begitu juga, penceramah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid ketika ditemui SinarPlus semalam ketika majlis perasmian kedai barunya Smoked Kingdom by Don Daniyal di Ayer8, Putrajaya memaklumkan tarikh ini (semalam) dipilih bagi memperingati Almarhum juga.

Pada masa sama, melalui Facebooknya hari ini, Ustaz Don turut menceritakan momen manisnya bersama Almarhum :

Saya berpeluang tolak wheelchair Tuan Guru di Masjid Nabawi. Kami keluar ikut pintu 25 sebab di situ ada kedai yang Tuan Guru suka minum teh susu.

Ketika Abang Hamdi, anak kepada Tuan Guru pergi beli air, saya tunggu dengan Tuan Guru berdua sahaja.

Saya tanya Tuan Guru “Tuan Guru, nasihatkan saya dengan satu nasihat yang saya boleh pegang seumur hidup.

“Tuan Guru kata, berpeganglah dengan al-Quran”.

Iklan

Kalam orang soleh ini, mesti kita kena pegang. Kewafatan arwah Tuan Guru Haron Din menggambarkan khusnul khotimah (pengakhiran yang baik). Kalau orang khusnul khotimah bercakap, kita tak mau pegang, siapa lagi kita nak pegang? Wallahua’lam.

Pesan Ustaz Don lagi, kepada yang terlupa, saya mengajak untuk mengingatkan semula, tarikh semalam 16 September adalah tarikh yang mana Almarhum Tuan Guru pergi meninggalkan kita.

“Tarikh itu juga saya jadikan simbolik untuk saya buat majlis perasmian kedai saya di samping di dalam majlis itu kita buatkan bacaan tahlil buat Tuan Guru.

Iklan

“Lebih istimewa, Datin Khadijah Salleh iaitu isteri Almarhum Tuan Guru sudi hadir bersama dan seterusnya menjadi perasmian kepada majlis tersebut, ujarnya.

Jadi di kesempatan ini, saya mengajak semua untuk memperingati beliau dengan melapangkan masa kalian sebentar membaca dan sama-sama kita sedekahkah bacaan Al-Fatihah buat Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din. Al-Fatihah (dibaca). Tuan Guru, kami rindu.