SEMPENA Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghasilkan sebuah dokumentari pendek bagi menghargai peranan dan pengorbanan frontliners negara dalam menghadapi ‘perang’ menentang Covid-19.

Video berkenaan telah dimajukan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada SinarPlus secara eksklusif.

Dokumentari yang bertajuk CPRC Perkhidmatan Hospital: Bersama Mengatur Strategi Barisan Hadapan (Bahagian 1) yang berdurasi selama 10 minit 45 saat itu antara lain mengupas bagaimana peranan CPRC dalam mengatur strategi menangani pandemik yang menakutkan seantero penduduk dunia.

Secara asasnya, CPRC merupakan salah satu pasukan belakang tabir dalam membantu frontliner menangani krisis tersebut.

Video yang sangat menyentuh perasaan itu juga akan memperkenalkan ‘panglima-panglima’, ‘pendekar-pendekar’, ‘hulubalang-hulubalang’ termasuk ‘laskar-laskar’ yang diketuai oleh ‘Panglima Besarnya’, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

dr noor hisham

Selain itu, orang-orang penting lain seperti Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Perubatan merangkap Penasihat CPRC Perkhidmatan Hospital, Datuk Dr Rohaizah Yon; Pengarah Perkembangan Perubatan Bahagian Perkembangan Perubatan (Pengurus INSIDEN), Datuk Dr Norhisam Ismail; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan (Ketua Subunit Peralatan), Dr Hirman Abdullah; Timbalan Pengarah Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan, Dr Nor Aishah Abu Bakar dan ramai lagi.

Seperti kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan, Dr Mohamad Ahsam Mohamad Ismail: “Ramai orang Malaysia tak nampak dan mungkin tak tahu betapa besarnya jentera (KKM) dalam menangani Covid-19 di Malaysia.”

Sesungguhnya, pengorbanan mereka bukan biasa-biasa. Bayangkan mereka semua tidak boleh lambat bertindak, perlu cepat, tidak boleh bercuti walaupun cuti umum dan bersidang sampai lewat malam.

dr noor hisham

Pesan Dr Noor Hisham dan pasukannya kepada kita semua agar dokumentari pendek tersebut dapat memberi sedikit sebanyak penghayatan dan gambaran sebenar di sebalik tabir kepada rakyat Malaysia agar kita semua akan terus berjuang dan berganding bahu dengan memainkan peranan masing-masing dan sebagai rakyat Malaysia untuk sentiasa mengikuti SOP yang telah ditetapkan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

“Video tersebut adalah untuk anggota KKM yang terlibat di dalam pengurusan wabak ini, bukan sahaja di peringkat hospital, malah termasuk juga di peringkat kesihatan awam, penyelidikan, makmal dan lain-lain sektor yang terlibat di bawah jentera CPRC dan KKM,” katanya.

Kita belum menang, kita pasti berjuang dan kita akan menang!

Marilah kita bersama MERDEKAKAN NEGARA daripada penularan jangkitan Covid-19.

 

Iklan

Berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan KKM, semenjak Disember 2019 hingga ke hari ini, negara kita masih berdepan dengan wabak itu.

Berikut merupakan fakta Covid-19 di Malaysia.

i) Sehingga 26 Ogos 2020, terdapat 9,291 kes yang disahkan positif Covid-19.

ii) Sebanyak 8,978 kes yang telah pulih sepenuhnya (96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

Iklan

iii) Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 188 kes.

iv) Jumlah umulatif kes kematian adalah sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

dr noor hisham

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia!