TIADA ungkapan yang dapat diluahkan saat berhadapan dengan kehilangan orang yang tersayang. Sudah pasti kesedihan dirasai dalam menghadapi kenyataan insan yang disayangi sudah pergi buat selama-lamanya.

Itulah yang terpaksa dilalui seorang doktor perubatan, Dr Sakinah Kamarul Bahrin yang baru sahaja kehilangan bapa akibat jangkitan Covid-19.

Beliau tabah dan reda dengan ketentuan ALLAH. Namun apa yang lebih menyentuh hati, ibu kepada empat cahaya mata ini sempat menunaikan permintaan terakhir untuk membantu bapanya Allahyarham Ir Haji Kamarul Bahrin Mohamad untuk mengambil wuduk sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Abah reda dengan semua keputusan dan kebenaran yang Nor tandatangan ni?” tanya Dr Sakinah kepada Allahyarham dalam kapsyen di Instagram sebelum dibawa ke wad ICU.

Reaksi abahnya mengangguk lemah kerana tidak mempunyai nafas yang cukup untuk menjawab. Namun sempat mengharapkan doa daripada orang ramai.

“Tolong panjatkan doa buat Abah / Atok ye,” kata Allahyarham dalam video berkenaan.

 

Jelas Dr Sakinah, keadaan kesihatan Allahyarham bapanya semakin merosot sejak beberapa hari lalu sehingga memaksa dibawa ke ICU. Sebelum itu, ibunya turut ditempatkan dalam wad bersama dengan Allahyarham namun terpaksa berpisah akibat perpindahan Allahyarham ke ICU.

Dr Sakinah meluahkan tentang bapanya mempunyai budi pekerti yang mulia dan penyayang.

Iklan

“Dia seorang jurutera perunding tetapi dia adalah hamba Allah yang paling rendah hati. Juga ayah dan datuk yang penyayang serta suami yang luar biasa. Dan dia mempunyai hati yang paling murni yang pernah saya kenal. Jadi untuk semua perbuatan baiknya Ya ALLAH, kasihanilah dia,” coret Dr Sakinah.

Video yang dikongsi Dr Sakinah menyayat hati warganet. Video berdurasi 1 minit 50 saat itu mendapat 1.4 juta tontonan dan menerima ribuan komen serta doa.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Nur Sakinah (@sakinah_kb)

Allahyarham bapanya dikesan positif Covid-19 pada 7 Mei lalu setelah mengalami simptom dan mula ditempatkan di wad ICU sejak Jumaat lalu. Selain bapa, ibu dan enam lagi ahli keluarganya juga turut didapati positif. Dalam lapan adik beradik, Dr Sakinah satu-satunya yang tidak dijangkiti virus itu.

Iklan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Nur Sakinah (@sakinah_kb)

Dalam hantaran lain di Instagramnya, Dr Sakinah turut mengingatkan bahawa Covid-19 adalah virus yang benar-benar wujud dan menasihatkan agar masing-masing menjaga penjarakan fizikal agar tidak dijangkiti virus maut ini.

Sumber: @sakinah_kb