CINTA itu buta’, ‘lautan bara sanggup ku renangi’, ‘biar susah senang bersama’, ‘biar apa orang nak kata’ kononnya…

Perasan tak, itu antara kata-kata lazim yang sering dilafazkan saat merpati dua sejoli katanya sedang asyik masyuk bercinta?

Ya lah, saat bercinta semuanya nampak indah. Hingga bau kentut yang gila tak busuk tu pun dikatakan wangi tatkala dilanda panahan cinta yang sememangnya buta.

Hakikatnya, apabila sudah tinggal serumah, makan sepinggan dan tidur sebantal barulah kita kenal hati budi pasangan masing-masing, termasuklah soal kewangan.

Kata orang duit bukan segalanya. Tapi segalanya memerlukan duit. Malangnya wanita yang sering menjadi mangsa apabila rumah tangga berantakan seringkali tidak menyedari hal ini.

Ironinya sebelum mendirikan gerbang perkahwinan, mereka takut hendak bertanya tentang latar belakang kewangan seseorang lelaki yang bakal menjadi pasangan hidup.

Barangkali risau dilabelkan ‘mata duitan’ atau ‘kemaruk duit’.

Begitupun, lihat sahajalah berapa banyak kes cerai berai disebabkan masalah kewangan.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak, yang juga pakar hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad tidak menafikan ramai sahaja golongan muda berdepan masalah seumpamanya.

Dr Azizul

“Ramai juga pelajar saya yang cerita, ramai rakan mereka yang sudah berkahwin jadi ibu tunggal. Habis study dulu pun cabaran juga pada mereka bila lihat ramai yang kahwin dulu (tergesa berkahwin).

“Sebab itu saya galakkan wanita menabung. Jangan tunggu lelaki untuk jadi kaya. Kita tak tahu sampai bila jodoh dengan lelaki itu. Mana tahu tak panjang.

“Jadi, wanita kena ada ilmu kewangan untuk masa depan. Dengan adanya ilmu, wanita akan lebih bersedia berdepan sebarang kemungkinan,” katanya kepada SinarPlus.

Rasa tabu

Bagaimanapun, malangnya sudah umpama ‘budaya’ dalam kalangan masyarakat kita, wanita biasanya berasa tabu atau ‘ada pantang larang’ apabila hendak bercakap bab kewangan.

Dalam masa sama, Azizul berkata, lazimnya banyak masalah seperti tiba-tiba bila nak kahwin baharulah wanita itu tahu misalnya tunangnya rupanya ada RM30k pinjaman peribadi, ada RM20k hutang kad kredit dan sebagainya.

“Dulu memang tabu. Selalu kita dengar takut orang kata, ‘kau ni belum apa-apa dah tanya gaji.. tanya hutang semua’. Sedangkan bagi saya, untuk berbahagia dalam hidup, perlu tanya sebab akhirnya memang kita akan perlu berkongsi.

“Sebab apa? Kita dah hidup dalam generasi yang berbeza. Dulu contohnya, tujuh khemah kita dirikan bila nak kahwin. Sekarang online saja.

“Jadi lelaki pun kena berubah, rendahkan ego. Kata tak mahu wanita tahu (gaji), tapi kadang-kadang pinjam duit bini juga, tumpang rumah bini, mintak bayar itu ini. Kat situ tak ego?,” soalnya.

Menurutnya, kita perlu belajar hakikat yang perlu ditelan. Semua benda berkaitan latar belakang lelaki perlu diketahui oleh seseorang wanita sebelum berkahwin. Jika tidak, susah merancang kehidupan.

“Bab kewangan, hartanah sebenarnya dua-dua perlu tahu. Saya galakkan satu famili perlu tahu bab kewangan. Kerana sejak lahir sampai mati kita akan pegang duit.

Iklan

“Dulu mak ayah kita pesan, ‘dapat duit lebih simpan’. Biasanya tak ada lebih kan? Tapi hari ini patut pesan pada anak kita, ‘duit ini simpan, lebih simpan ini baru belanja’.

“Kalau boleh simpan (menabung) dulu dengan keadaan ekonomi macam ni kita kena mulakan. Moga bermanfaat. Saya memang nak galakkan orang ada hartanah.

“Tapi mak ayah kita dulu pun mungkin selalu pesan kat anak, ‘kau jangan beli harta, nanti laki kau cuci kaki saja’.

“Tapi masalahnya bukan sebab cuci kaki tu. Sebelum kahwin harta tu tak jadi harta sepencarian. Dia tetap hak kita (wanita).

“Wanita ini cepat beremosi, selalu bila ada masalah cerai dan sebagainya cepat lari bawa anak-anak. Sepatutnya suami yang keluar, rumah itu jadi tempat berlindung wanita. Itu sebab pentingnya ilmu,” kata Azizul yang mempunyai kira-kira 238,367 pengikut di Facebook ini.

Wanita harus berharta

Mengulas tentang lelaki kaki pisau cukur yang mempergunakan wanita untuk kepentingan diri, ini ada pesanan padu Dr Azizul dalam perkongsian
#TabungWanita dikongsikan di Facebooknya.

Iklan
Perkongsian di Facebook yang mendapat banyak respons netizen yang diulas oleh Azizul baru-baru ini.

Tidak menafikan lelaki yang mengikis merupakan perbuatan penghinaan buat wanita, ini antara titipan pesanan beliau yang dikongsikan khusus untuk golongan itu:

1. Sebab itu saya selalu pesan dan tulis wanita harus berharta.
2. Wanita sebaiknya belajar dan ada ilmu yang tinggi jangan hidup mengharapkan suami.
3. Selidik latar belakang lelaki, jika nak bagus semak rekod CCRIS dan CTOS mereka ini. Jika hutang pun bermasalah, jangan harap mereka akan bagi nafkah buat isteri.
4. Sesekali cuba tanya, sumbangan ibu bapa berapa sebulan dia berikan. Jika kurang dari 5% gajinya, pasti ada yang tidak kena.
5. Jangan cerita apa harta yang kita ada jika mula kenal. Kita tak tahu niatnya manusia. Sebab niat buruk tak pernah tertulis di dahi manusia.
6. Selidik gaya hidupnya, jika kaki bergaya hias kereta macam akuarium jadinya. Baik tangguhkan saja.
7. Jangan ada impian kahwin nak ubah hidup dia, kata orang Kedah “old habits die hard”. Nanti anda menyesal dan kecewa.
8.Fahami hak ada sebagai isteri, jika suami mula ambil hak anda dan mendera. Jangan cepat cepat salahkan takdir. Hubungi talian Nur 15999 dan buatlah aduan bukan biarkan.

“Jangan nak mencari jodoh sampai jadi bodoh. Berkahwin bukan untuk menjadi hamba bayar hutang kereta suami tercinta,” kongsinya.

Beliau turut memohon kongsikan pesanan ini.

Jadi wanita, apalagi? Pesanan SinarPlus, jangan mudah kita layu pada lelaki yang hanya hendak mengambil kesempatan.

Selidikilah sebaiknya latar belakang sang arjuna, supaya tidak makan hati di kemudian hari ya! -AG #rantaiankasih