SEJAK semalam laman sosial Instagram, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihujani komen positif daripada warga net.

Rata-rata pengikut Instagram @ismailsabri60 memuji penampilan beliau yang tampak segak dan kasual menyarungkan kemeja corak batik moden kontemporari.

Tidak kurang juga ada yang menzahirkan pandangan bahawa kemeja konsep sedemikian menyuntik mood ceria, tenang dan santai.

Pemilihan kemeja nuansa terang itu dipakai ketika beliau mengadakan sidang akhbar mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan secara langsung pada hari Sabtu dan Ahad.

ismail sabri
KEMEJA batik ala teknik ikat dan celup menjadi pilihan Ismail Sabri ketika melakukan tinjauan ke pusat pengedaran Jabatan Kebajikan Malaysia Wilayah Persekutuan baru-baru ini. Foto Instagram @ismailsabri60

Menurut Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menerusi Instagramnya, kemeja batik menjadi pilihan memandangkan bertugas pada hujung minggu.

“Ramai komen tentang baju saya sejak semalam (Sabtu). Sebenarnya, semalam dan hari ini (Ahad) adalah hujung minggu. Jadi saya memilih untuk memakai batik.

“Apa salahnya saya mempromosikan batik Malaysia kan?,” tulis beliau ringkas yang mendapat lebih 8,000 jumlah likes dan 534 komen.

Pemilik akaun @dydaadah menulis: “Sekarang, tunggu Datuk Seri buat PC sebab nak tengok baju-baju yang dipakai.”

@mimizaini10 pula menyatakan tiada salahnya memakai baju batik, malah ramai yang bertanya beli di mana.

Sementara itu, @rezarizvy mencoretkan: “Terbaik, Batik Malaysia!.”

ismail sabri
ANTARA koleksi kemeja batik moden kontemporari yang digayakan Ismail Sabri pada sidang akhbar PKP baru-baru ini. Foto: Bernama

Terdahulu, semalam Ismail Sabri menggayakan kemeja batik rona hijau terang bermotifkan corak kombinasi warna gelap dan terang manakala kemeja batik ala teknik ikat dan celup (tie dye) dipakai pada sidang akhbar hari Sabtu baru-baru ini.

Iklan

Bukan itu sahaja, beliau juga pernah mengenakan kemeja batik warna merah terang dan gabungan hitam serta putih.

Dalam pada itu, segelintir netizen turut mengusik sama ada kemeja batik kontemporari berkenaan merupakan koleksi Jovian Mandagie. Bahkan, berjenaka untuk mendapatkan potongan harga sekiranya pakaian itu dijual di butik pereka terbabit.

Untuk rekod, pereka fesyen popular negara, Datuk Jovian Mandagie merupakan suami, Datin Nina Sabrina iaitu anak sulung kepada Ismail Sabri.

Iklan

Sepanjang tempoh PKP Fasa 3 yang dijadualkan sehingga 28 April ini, Ismail Sabri sentiasa menasihatkan rakyat mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) antaranya kekal duduk di rumah.

Langkah tersebut adalah untuk menghentikan penularan dan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Terdahulu, PKP Fasa 1 telah berkuatkuasa antara 18 hingga 31 Mac sebelum dilanjutkan sehingga 14 April lalu (PKP Fasa 2).