• Monday , 25 May 2020

Lemang Drive-Thru Abdul Qahhar dapat sambutan

Lemang Drive-Thru Abdul Qahhar dapat sambutan
May 20, 2020
Faizul Hakimi

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menjadi penghalang buat salah seorang pengusaha lemang menjadikan ia lubuk rezeki apabila meraih peningkatan jualan sehingga 60 peratus dalam tempoh tiga minggu pertama bulan Ramadan.

Abdul Qahhar Bujang, 34, yang mengusahakan jualan lemang secara pandu lalu dan pembayaran tunai semasa serahan (CoD) menggunakan khidmat penghantar tidak menyangka usahanya dalam tempoh mencabar ini berhasil walaupun tidak yakin untuk beroperasi semula pada Ramadan tahun ini.

Beliau berkata lebih 4,000 batang lemang sudah terjual dalam tempoh tiga minggu, berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar 2,000 batang sahaja terjual dalam tempoh sama.

“Pada awalnya saya tidak yakin dan kurang bersedia untuk membuka semula jualan, tetapi, selepas PKP dilonggarkan, barulah saya membuat keputusan untuk beroperasi sepenuhnya, dan saya langsung tidak menyangka sambutan begitu menggalakkan.

“Boleh dianggarkan purata pendapatan sehari jualan lemang dalam tempoh PKPB ini mencecah sehingga RM3,500,” katanya.

Abdul Qahhar merupakan pemilik gerai ‘Lemang Drive-Thru’, satu daripada lima cawangan diusahakannya di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu.

Empat lagi cawangan ‘Lemang Drive-Thru’ iaitu di Universiti Apartment, Jalan Sulaman; Bandar Sierra, Manggatal; Kingfisher, Likas; serta Sulaman Sentral, Sepanggar, yang dibantu seramai 10 orang pekerja sambilan.

Pekerja dalam sektor minyak dan gas itu mengusahakan jualan lemang secara sambilan dan hanya beroperasi sepanjang Ramadan dan Syawal, serta seminggu ketika Hari Raya Aidiladha.

Beliau mendapat inspirasi mengusahakan ‘Lemang Drive-Thru’ sejak 2017 selepas melihat konsep pandu lalu oleh beberapa restoran francais makanan segera yang disifatkannya sebagai kreatif dan efektif dalam memudahkan orang ramai membeli makanan kegemaran selain mampu meningkatkan hasil jualan.

Abdul Qahhar berkata, perkhidmatan CoD juga membantu melonjakkan hasil jualan sepanjang tempoh PKPB apabila kira-kira 150 pek tempahan set lemang beserta rendang ayam atau daging diterima setiap hari.

Katanya, pelbagai pilihan set lemang ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu set lemang dan rendang ayam (RM15); set lemang dan rendang daging (RM18) atau set lemang dan kedua-dua rendang (RM25).

Selain itu, penggunaan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk pengiklanan dan pemasaran lemang juga membantu meningkatkan hasil jualan lemangnya ketika tempoh PKPB dilaksanakan.

“Saya memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mempromosi jualan lemang dan sambutan sememangnya luar biasa. Ramai orang dapat melihat iklan itu sekali gus dapat meningkatkan jualan,” katanya yang mahu memperkukuh iklan dalam talian sebagai kebiasaan baharu dalam bidang perniagaan.

Dalam pada itu, Abdul Qahhar berharap jualan lemang tahun ini mampu mencapai pendapatan sasaran sehingga RM70,000 dengan penjualan kira-kira 7,000 batang lemang berbanding RM40,000 pada tahun sebelumnya.

Beliau optimis sasaran berkenaan mampu dicapai memandangkan ramai perantau dari Semenanjung dan beberapa daerah di Sabah tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

Komen

About Faizul Hakimi

Biodata Penulis