TAMAN Tasik Taiping mempunyai pemandangan yang mempesonakan kerana dikelilingi pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya Samanea Saman.

Pokok yang tumbuh sejak 136 tahun itu kelihatan seolah-olah tunduk merapati tasik memberikan pemandangan yang menakjubkan sehingga Taman Tasik Taiping menjadi lokasi wajib dilawati pelancong.

Kewujudan pokok ini juga sekali gus memberikan rasa nyaman kepada pengunjung. Baru-baru ini, sebatang pokok hujan-hujan disahkan reput dan mati setelah tumbang pada 20 Januari 2018

Perkara menimbulkan pelbagai reaksi warganet. Rata-rata sedih dan mengenang kembali momen mereka kala berkunjung ke tasik berkenaan.

– “ Lama pokok ni dari aku budak-budak lagi. Ratus-ratus tahun juga, harap ditanam semula anak pokok elok untuk ekosistem.”

– “Biar jasa jadi kenangan…”

– “Tempat jatuh lagikan dikenang.”

– “Sampai masa dah.”

– “Apakan daya… sudah 136 tahun umurnya”

-” Rest in peace pokok.”

Majlis Perbandaran Taiping turut memaklumkan keadaan terkini pokok hujan hujan yang bernombor JTT1079 berdekatan Jeti Taman Tasik Taiping yang tumbang ke arah jalan menghala tasik disebabkan kegagalan sistem akarnya atau disebut sebagai structural and anchor roots.

“Akar utama yang menguat dan menahan dirian pokok ini telah reput. Akar utama yang berada kira-kira 1.5 meter dari kolar akar telah reput dengan anggaran rongga berdiameter sekitar lapan inci.

“Pokok ini telah sekian lama ditegang-kuatkan oleh akar besar ini yang tumbuh ke arah parkir. Manakala sebahagian besar dari dahan-dahan utama serta batangnya pula tumbuh condong menghala kearah jalan dan tasik,” katanya.

Dalam pada itu dahan pokok berkenaan yang masih hidup juga akan mati masa setahun dan pelbagai usaha dilakukan untuk memanjangkan hayat pokok hujan hujan berkenaan termasuk memasang penyokong atau disebut proping.

“Laporan Pemeriksaan dan Penilaian Pokok Warisan di Taman Tasik Taiping yang dikeluarkan oleh Arboris Bertauliah pada tahun 2019 telah menyatakan bahawa kekuatan dahan pokok ini yang masih hidup djangkakan akan merosot dan mati beberapa bulan atau setahun lagi dan perlu dipantau segera.

“Tindakan memasang proping dan merawat pokok juga dibuat seperti yang dicadangkan pihak arboris,” katanya.

Sebagai langkah penggantian pokok yang mati, tindakan penanaman semula pokok hujan-hujan telah dilakukan pada tahun 2019. Sebanyak tiga batang pokok telah ditanam di kawasan berhampiran lokasi asal pokok tumbang atau mati.

Sebagai menghargai ikon Taiping itu, pokok yang mati akan dijadikan arca atau sculpture tree di taman berkenaan.

Iklan

Tahukah korang daripada daripada 40 pokok ikonik di Taman Tasik Taiping, 38 daripadanya adalah pokok hujan-hujan manakala selebihnya melibatkan pokok brazillian night dan angsana.

Mungkin ramai yang sudah mengunjungi taman tasik yang terkenal dengan pokok yang rimbun dan rendang menghijau. SinarPlus menghimpunkan 10 fakta menarik mengenainya.

1.Taman Tasik Taiping merupakan kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah yang tertua di Malaysia

2.Keluasan asal taman ini adalah 61.93 hektar serta diperbesarkan sehingga mencapai keluasan 96.44 hektar oleh Majlis Perbandaran Taiping.

3.Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia telah menganggarkan terdapat 113 pokok hujan-hujan dan 1,300 jenis pokok lain di dalamnya.

4.Pembangunan Taman Tasik Taiping ini telah dilaksanakan oleh Charles Compton Reade (1880–1933), yang mana beliau juga bertanggungjawab merancang untuk membina Taman Kuala Lumpur (sekarang    Taman Botani Kuala Lumpur) bersama dengan Lady Swettenham.

Iklan

5.Taman Tasik Taiping dibangunkan secara asalnya mengikut konsep ‘Rolling Meadows’, iaitu konsep mengadaptasi kawasan hijau dan lapang berkontur dan pokok-pokok besar sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap lanskapnya.

6.Taman tasik ini mempunyai 10 buah kolam dan tasik kecil.

7.Pada 21 Disember 2018, Taiping telah tersenarai dalam 100 destinasi hijau terbaik dunia 2018 oleh Green Destination Award yang mana Taman Tasik Taiping adalah di antara kriteria yang termasuk dalam anugerah ini.

 

Baca juga Berkabus, Suhu 17 Darjah Celcius, Situasi Terkini Buat Ramai Rindu Cameron Highlands

Sungguhpun Taman Tasik Taiping merupakan taman buatan manusia namun ia adalah sumber pembangunan yang amat bernilai dari segi estatik, warisan negara dan juga ekonomi.

Taman ini sewajarnya dikekalkan sebagai aset dan khazanah negara dalam bentuk asalnya dan dalam masa yang sama dinikmati oleh orang ramai sehingga generasi akan datang.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Majlis Perbandaran Taiping