SELEPAS lebih tiga bulan terpaksa ‘berkurung‘ di rumah dalam usaha memutuskan jaringan Covid-19, kini rakyat Malaysia boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan keluar bercuti bersama keluarga mahupun teman-teman. Walaupun hanya boleh berjalan-jalan di dalam negara, itu nikmat paling besar yang perlu disyukuri.

Sekurang-kurangnya kita berpeluang menenangkan fikiran dan menikmati pemandangan yang mendamaikan jiwa.

Lagipun, kebanyakan hotel, calet dan pusat peranginan terkenal nampaknya menawarkan harga runtuh untuk bilik-bilik bertaraf mewah demi menarik kehadiran pengunjung.

Jika bernasib baik, kita hanya perlu membayar sekitar RM150 hingga RM300 untuk semalam. Menarik bukan?

Justeru, sebagai pembuka dalam segmen Jom Relaks selepas era Perintah Kawalan Pergerakan, SinarPlus berkongsi tiga destinasi percutian bersuhu dingin berkonsepkan ala negara Eropah bagi pembaca yang mungkin merindui momen berlibur di luar negara.

1 Cameron Highlands

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang popular di negara ini. Sejak dibuka oleh seorang pegawai Inggeris, William Cameron sekitar tahun 1885, lokasi yang terletak pada ketinggian 1,829 meter dari aras laut itu terus menjadi pilihan rakyat tempatan bercuti pada hujung minggu.

Udaranya yang bersih dan suhu dingin antara 16 hingga 25 darjah Celsius membuatkan Cameron Highlands sentiasa menduduki carta teratas dalam senarai percutian di Malaysia.

Hotel seni bina InggerisBagi pembaca yang ingin menikmati percutian manis di Cameron Highlands, disarankan menginap di hotel ataupun calet berkonsepkan zaman kolonial British seperti The Smokehouse Hotel, The Lakehouse dan Planter Country Hotel.

cameron highlands
PANORAMA ladang teh yang memukau dan keunikan seni bina hotel berkonsepkan zaman kolonial British antara tarikan utama di Cameron Highlands.

Keterujaan pengunjung pasti memuncak tatkala melangkah masuk ke dalam hotel yang menerapkan seni bina Inggeris kuno. Sudahlah diselimuti cuaca sejuk, pandangan mata pula akan tertancap pada keindahan bunga yang menjalar segar dan berwarna-warni.

Selain variasi hotel yang menarik, ironinya bermacam-macam aktiviti boleh dilakukan di Cameron Higlands.

Bagi penggemar teh dan manisan skon, jangan lepaskan peluang menikmati sajian itu di Ladang Teh Bharat dan Ladang Teh Boh. Pun begitu, sebelum pulang jangan lupa bergambar dengan berlatarbelakangkan panorama ladang teh yang luas terbentang.

Sementara itu, tanpa perlu ke Belanda, Itali atau Sepanyol, pengunjung masih berpeluang mendekati dan bergambar bersama bunga lavender di Taman Lavender Cameron Highlands yang terletak di Pekan Tringkap.

Berada di tengah-tengah lautan lavender berwarna ungu, pengunjung juga dapat menghirup harumannya yang semerbak. Antara spesies yang ditanam ialah lavender Sepanyol, van gogh, madrid blue dan madrid purple.

2 Colmar Tropicale Berjaya Hills

colmar

Iklan

BAGI mereka yang ingin menikmati suasana percutian ala perkampungan konsep Perancis, Colmar Tropicale Berjaya Hills antara pilihan ideal.

Terletak di Bukit Tinggi, Pahang, destinasi bersuhu sejuk yang mendamaikan itu terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur dengan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur.

Menariknya, selain bilik penginapan yang selesa dan kondusif, lokasi yang terletak pada ketinggian 823 meter dari paras laut tersebut turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

Antaranya, menyarung dan menggayakan kostum tradisional kimono masyarakat Jepun di Japanese Village dan bermain dengan arnab di Ladang Arnab. Ia termasuklah aktiviti paintball dan memanah serta menikmati sajian lazat di restoran yang menampilkan dekorasi Perancis.

3 Fraser Hills

Iklan

BUKIT Fraser atau Fraser Hills yang memerlukan pemanduan lebih dua jam dari Kuala Lumpur sentiasa menjadi pilihan kelompok pencinta alam. Masakan tidak, destinasi yang menyajikan pemandangan seperti negara Eropah itu dikelilingi rimbunan pohon dan padang menghijau.

fraser hills

Justeru, tidak hairanlah apabila bercuti di Bukit Fraser, kebanyakan aktiviti dan kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung adalah berkait rapat dengan alam semula jadi.

Selain aktiviti menunggang kuda di The Paddock, pengunjung yang datang baik bersama famili atau teman juga boleh mandi-manda di Air Terjun Jeriau, berbasikal, mendaki dan sesi memerhati bermacam-macam spesies burung.

Bagaimanapun, dalam keseronokan bercuti, orang ramai dinasihatkan berwaspada bagi mengekang Covid-19. Walau di mana sahaja kita berada, amalkan prosedur operasi standard yang disarankan seperti menjaga penjarakkan sosial dan elak bersesak-sesak di sesebuah lokasi.