HANYA makan, masak, makan, masak dan makan sepanjang mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan kerajaan untuk duduk ‘diam’ di rumah?

Sudahlah kurang aktiviti fizikal, lepas kenyang makan, ‘terbuntang’ pula di depan televisyen (TV). Penat melopong di depan kaca TV, sedap tidur pula.

Kalau begitu sahaja aktiviti sehari-hari, bukan sahaja fizikal menjadi sembab, otak pun mengikut juga. Awas ya!

Jika aktiviti fizikal terlalu memenatkan untuk uols, apa kata aktifkan aktiviti mental. Ya, kata orang minda cerdas mampu membangkitkan badan yang cergas atau menterbalikkannya pun boleh.

Betul ke betul? Bak stail pertanyaan orang sekarang ya…

Penulis tertarik perkongsian oleh portal khusus buat pesakit Multiple Sclerosis Today, yang dicatat kolumnisnya, Ed Tobias.

Multiple sclerosis atau sklerosis berbilang (MS) adalah penyakit yang berpotensi melumpuhkan otak dan saraf tulang belakang (sistem saraf pusat). MS menyebabkan sistem imun penderitanya menyerang sarung pelindung (myelin) yang merangkumi serat saraf dan mengakibatkan masalah komunikasi antara otak dan seluruh tubuh.

Biarpun tulisan Ed Tobias mengaitkan ideanya untuk pesakit MS, tidak salah kita mengadaptasi apa yang dicadangkannya supaya tidak bosan duduk di rumah atau timbul rasa tidak tahu apa hendak dibuat mula menjengah.

Ya, menonton TV boleh jadi perkara yang menghilangkan bosan. Begitupun, ia hanya dihidangkan tanpa menyuruh kita berfikir.

Bagaimanapun berikut antara perkara bermanfaat yang dikongsikan Ed boleh dilakukan dari rumah secara percuma. Bukan sahaja buat pesakit MS, ia juga boleh membantu membuatkan kita sibuk dan memastikan sek-sel otak sentiasa berhubung:

1) Belajar bahasa

Banyak aplikasi bahasa percuma dan video YouTube tersedia pada masa sekarang untuk membantu mempelajari pelbagai bahasa. Kanak-kanak pun akan suka.

Aktiviti itu lebih menggalakkan produktiviti daripada menonton TV. Tambahan pula, bukti menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa adalah baik untuk otak.

“Saya telah belajar bahasa Jepun baru-baru ini. Bahasa apa yang ingin anda pelajari?,” kata Ed.

2) Membaca

Antara bahan bacaan yang boleh dibaca adalah seperti buku atau makalah yang boleh memberikan inspirasi. Boleh juga menggeledah buku yang memberikan idea atau panduan berguna.

Terdapat lambakan buku-buku sedemikian di pasaran. Pilihlah jenis buku atau penulis yang uols gemari.

Sekaranglah masanya untuk mengejar buku-buku yang uols inginkan untuk membacanya.

Cadangan penulis buat mereka yang beragama Islam, bolehlah membaca al-Quran. Terlalu banyak fadilat malah panduan boleh diambil daripadanya. Pasti kitab itu sudah sedia ada di rumah, bukan?

Adakah uols tahu membaca boleh membantu menggalakkan kesihatan otak? Apatah lagi jika kita membaca kalam ALLAH.

3) Melukis

Lukisan adalah aktiviti lain yang boleh dilakukan. Ia aktiviti kreatif juga baik untuk mengalun jiwa.

Kita mungkin berfikir atau mengatakan: “Tapi lukisan saya tidak menarik, saya tak boleh melukis!”

Hakikatnya, sudah tentu uols boleh! Seni adalah subjektif. Ia tidak perlu menjadi hasil sempurna seperti lukisan potret Mona Lisa.

Iklan

Mulakan melukis apa-apa sahaja. Ambil beberapa kertas dan pen dan mulakan tarian tangan uols. Kebebasan emosi yang dirasakan ketika memindahkan pena di atas kertas adalah sesuatu yang ajaib.

Cubalah. Terdapat banyak juga video tutorial cara melukis secara percuma.

4) Mulakan saluran YouTube sendiri

Kenapa tidak? Ambil telefon dan mulakan rakaman. Tiada peralatan khas diperlukan untuk video pemula.

Saluran YouTube uols boleh menjadi apa-apa saja daripada mengajar orang lain cara membuat kek untuk membuat “vlog” (blog video) atau mengenai apa yang ingin seperti memberikan padnuan supaya orang ramai  menyisihkan diri daripada koronavirus yang berlaku di luar sana.

Sekali lagi, ia tidak perlu menjadi video yang sempurna. Mulakan sekarang, dapatkan hasil yang sempurna nanti. Ambil tindakan. Mulakan sesuatu yang menakjubkan.

5) ‘Berkelah’ di lantai

Biasanya masa kecil-kecil dahulu kita kerap melakukannya. Ibu pula akan membiarkan kita piknik di lantai khususnya semasa cuti sekolah.

Iklan

Ya, jangan menyamakannya sangat dengan berkelah di pantai yang berbumbungkan langit dan pandangan saujana mata memandang! Namun demikian, konsepnya masih sama.

Untuk melakukannya, hanya bentangkan selimut lusuh atau pelapik kain di atas lantai. Semua ahli keluarga duduk sambil makan sandwic dan kek.

Ibu bapa bolehlah lakukan ini di rumah. Imbas kembali, jika sewaktu kita di zaman kanak-kanak pun menyukainya.

Jika dalam filem barat, itulah yang dilakukan oleh para ibu bapa di sana terutama ketika hujan atau salji muncul di luar rumah. Anak-anak akan merasakan kehangatan kasih sayang satu keluarga.

Berceritalah di saat itu..barangkali ibu bapa mengimbas kembali zaman kanak-kanak riang mereka pula. Pasti momen itu akan diingati sampai bila-bila.

Itu juga dapat merangsang kecerdasan EQ kita.

Demikian lima perkara mudah yang boleh dilakukan secara percuma semasa dalam tempoh mengelak Covid-19 ini. Apa yang paling uols sukai?

Ingatlah untuk sentiasa jaga diri sendiri dan jangan lupa sentiasa mencuci tangan ya!