SELEPAS memperoleh ‘kebebasan‘ untuk ke sana dan ke mari, nampaknya ibu bapa sudah mula mencatur perjalanan untuk membawa anak-anak pergi bercuti pada hujung minggu.

Jika tidak tahu destinasi mana yang hendak dituju, apa kata singgah ke Taman Tema Skytropolis Funland, Genting Highlands, Pahang yang baru dibuka kepada orang awam baru-baru ini.

Dengan keluasan lebih 3.72 hektar, taman tema itu pastinya akan menceriakan orang ramai apabila lebih daripada 20 permainan mencabar yang sangat mesra dengan pengguna tersedia.

Bagaimanapun, kepada ibu bapa, pastikan anak-anak sentiasa di bawah pemantauan dan jangan sesekali terleka. Berikut antara permainan menghiburkan yang boleh dicuba:

  • Spurs: Menara lompat ini khusus untuk kanak-kanak yang berketinggian 92 hingga 122 sentimeter. Kanak-kanak digalakkan menaikinya bersama penjaga.
  • Spin Crazy: Permainan ini mengajak pemainnya berpusing 360 darjah di udara. Jika cukup keberanian berbuat demikian, tidak salah untuk mencuba.
  • Disco!: Ia berupa satu cakera berpusing ke hadapan dan ke belakang. Memang ramai yang akan menjerit keriangan.
  • Music Express: Untuk kanak-kanak, permainan ini sesuai untuk mereka. Dengan muzik ceria, si kecil akan berputar secara 360 darjah pada kadar yang tidak berapa laju.
  • Sky Towers: Permainan yang menguji kekuatan fizikal dan mental seseorang. Bersedialah untuk ‘dijatuhkan‘ dan ‘dinaikkan‘ dengan kelajuan yang sangat menguji adrenalin.
  • Bumper Boss: Permainan ini sangat sesuai untuk melepaskan tekanan. Pandu kereta mini dan langgarlah kereta yang dipandu oleh orang lain. Memang seronok!

Selain itu, terdapat juga permainan lain seperti The Void, Imaginatrix dan BigTop Games Park. Bukan itu sahaja, orang ramai juga boleh mencuba teknologi realiti maya (VR) yang sangat canggih.

Melangkah ke dunia baharu, pengunjung boleh melakukan semua perkara yang tidak pernah terfikir boleh lakukan seperti Teater XD, VirtuGlobe, RoboCoaster, VORTEX dan SkyGlider VR.

Sementara itu, Naib Presiden merangkap Pemangku Penolong Ketua Taman Tema Genting Highlands, Gregory Pearn berkata, untuk memastikan kelancaran dan mengelak sentuhan sesama pengunjung, orang ramai digalakkan membeli tiket online.

“Pengunjung juga akan menjalani pemeriksaan suhu sebelum memasuki taman tema, suhu melebihi 37.5 darjah Celsius ke atas tak akan dibenarkan masuk, sebaliknya akan dibawa ke ruang menunggu untuk mendapatkan bantuan perubatan. Selain itu, peraturan yang ditetapkan kerajaan sentiasa dipatuhi seperti penjarakkan sosial, memakai cecair pembasmi kuman dan pelitup sepanjang berada di sini,“ katanya.

Apa lagi, jom ke Taman Tema Skytropolis Funland yang menyediakan semua keperluan untuk bergembira. Percayalah, kepulangan anda akan membawa seribu kenangan terindah untuk diceritakan kepada teman-teman atau ahli keluarga yang lain.

4 taman tema sekitar Malaysia yang boleh dikunjungi:

1. Bukit Gambang Water Park, PahangAlamat: Bukit Gambang Resort City, Gambang, Kuantan, Pahang

Iklan
  • Waktu operasi: Jumaat hingga Ahad, bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang
  • Harga tiket: RM28 bagi dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak
  • Tarikan utama: Pelampung gergasi yang boleh dinaiki oleh sejumlah orang
  • Facebook: Gambang Water Park
  • Instagram: @bukitgambangresortcity

2. Legoland Malaysia

 

  • Alamat: 7, Jalan Legoland, Bandar Medini Iskandar Malaysia, Iskandar Puteri (Nusajaya), Johor
  • Waktu operasi: Dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang
  • Harga tiket: RM189 untuk dewasa manakala RM149 untuk kanak-kanak
  • Tarikan utama: Mempunyai 40 tarikan permainan air
  • Facebook: LEGOLAND Malaysia
  • Instagram: @legolandmalaysia

3. Lost World of Tambun

Iklan

  • Alamat: 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, Ipoh, Perak
  • Waktu operasi: Setiap hari kecuali Selasa (kecuali cuti sekolah dan cuti umum), bermula 11 pagi hingga 6 petang. Bagi hari hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum pula, ia akan beroperasi satu jam lebih awal
  • Harga tiket: RM85 untuk orang dewasa dan RM77 untuk kanak-kanak
  • Tarikan utama: Taman tema terbesar di utara tanah air
  • Facebook: Sunway Lost Of Tambun
  • Instagram: @sunwaylostworldoftambun

4. Taman Tema Escape

  • Alamat: 828, Jalan Teluk Bahang,  Tanjung Bungah, Pulau Pinang
  • Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.
  • Harga tiket: RM167 untuk dewasa dan RM111 untuk kanak-kanak
  • Tarikan utama: Gelongsor air terpanjang di dunia
  • Facebook: Escape Theme Park, Penang
  • Instagram: @escapemy

Foto: Facebook Resort World Genting, Escape Theme Park, Lost World of Tambun, Legoland Malaysia dan Gambang Water Park