PERGERAKAN dari mukim, daerah dan negeri berstatus hijau ke lokasi lain yang juga zon hijau dibenarkan.

Itu antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam gelembung perjalanan domestik atau travel bubble untuk sektor pelancongan.

Memetik laporan portal media tempatan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelaksanaan gelembung perjalanan itu adalah untuk membantu memulihkan ekonomi dan membolehkan rakyat bergerak ke lokasi lain untuk melancong.

Begitupun, buat masa ini ia hanya melibatkan lokasi dalam Malaysia dan tidak melibatkan perjalanan ke luar negara.

“Niat kita ialah untuk memulihkan ekonomi supaya orang masih dapat bergerak, dapat pergi melancong, ekonomi dapat dikembangkan.

“Ini tujuan gunakan pakej peruntukan untuk tahun ini. Untuk bajet tahun depan, mungkin akan ada lebih dan ini adalah bajet untuk tahun ini bagi menggalakkan orang kita, pelancong tempatan untuk melancong domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Status Terkini Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik hari ini.

Berdasarkan SOP tersebut, pelancongan melibatkan keluar dan masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.

Iklan

Kontak rapat dengan kes positif, individu yang dikenakan kuarantin rumah dan kuarantin wajib, baru kembali dari kawasan merah serta bergejala juga tidak dibenarkan untuk melancong.

Berikut antara SOP berkaitan travel bubble yang telah dipersetujui:

Iklan
  • Pergerakan dibenarkan dari Mukim / Daerah / Negeri berstatus hijau ke Mukim / Daerah / Negeri berstatus hijau sahaja sama ada di dalam Negeri PKPB yang sama (intra-state) atau merentas keluar ke / masuk dari Negeri PKPB / PKPP (inter-state) yang lain.
  • Keluar / masuk kawasan PKPD tidak dibenarkan.
  • Zon warna Mukim / Daerah / Negeri ditentukan oleh KKM dan disiarkan oleh MKN secara harian.
  • Pelancong dari Mukim / Daerah / Negeri hijau menuju terus ke destinasi pelancongan hijau TANPA merentasi kawasan kuning, jingga dan merah dibenarkan bergerak TANPA kebenaran PDRM.
  • Pelancong dari Mukim / Daerah / Negeri hijau menuju terus ke destinasi pelancongan hijau yang merentasi kawasan kuning, jingga dan merah WAJIB mendapatkan kebenaran PDRM.
  • Permohonan kebenaran pergerakan sekeluarga dan kumpulan pelancong pakej pelancongan di bawah syarikat pelancongan sah berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya boleh dibuat secara pukal kepada pihak PDRM.
  • Pengesahan pelancong berasal dari zon hijau perlu menunjukkan deklarasi tahap kesihatan risiko semasa berstatus low risk (risiko rendah) melalui applikasi Profil MySejahtera, bukti tempahan penginapan / tiket / pakej pelancongan, itinerari pelancongan atau apa-apa dokumen yang ditentukan oleh PDRM.

Untuk SOP penuh, korang boleh dapatkan di laman web rasmi MOTAC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber rujukan : astroawani