BARISAN Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang terdiri daripada Irma Hasmie, Diana Amir, Elfaeza Ul Haq, Ashraf Muslim, Saujana dan Siti Saleha tampil proaktif menjalankan projek bantuan pek makanan Ramadan bagi membantu pelarian Syria serta penduduk di Palestin, Somalia, Bosnia & Herzegovina, Kosova dan Albania.

Inisiatif yang telah mula berjalan sejak 23 April lalu, mensasarkan dana RM35,000 bagi setiap kempen yang diwakili barisan selebriti terbabit.

Menurut Irma Hasmie, pengalaman mengikuti misi kemanusiaan ke Gaziantep, sempadan Turki Januari lalu memberi kesan emosi mendalam pada dirinya.

“Kebanyakan pelarian Syria di Turki terdiri daripada ibu tunggal dan anak yatim yang melarikan diri tanpa sebarang harta atau bekalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Meskipun kerjaan Turki menyediakan bantuan untuk mereka namun pastinya bantuan itu tidak mampu menanggung sepenuhnya keperluan kira-kira 3.6 juta pelarian Syria yang berlindung di negara itu,” katanya.

Irma berharap, dengan bantuan kempen ‘Iftar for Syrian Children with Irma Hasmie’ ini sedikit sebanyak dapat menceriakan Ramadan pelarian Syria dalam menikmati juadah berbuka dan bersahur.

Sementara itu, Diana Amir dan Ashraf Muslim pula terlibat dengan projek menyalurkan bantuan kepada warga Bosnia Herzegovina serta Balkan menerusi kempen Ramadhan Rescue with Diana dan Providing Iftar for People in Balkan With Ashraf Muslim’

Pelakon Elfaeza Ul Haq pula mengumpul dana untuk membantu penduduk di Somalia dan  kumpulan Saujana untuk Gaza.

Kempen ‘Ramadan Reach Out for Palestinian with Saujana’ menyasarkan agihan 117 pek bantuan makanan dengan jumlah keseluruhan dana yang sedang dikumpulkan sebanyak RM35,000.

Terbaru, usaha murni barisan Ikon Kemanusiaan Islamic Releif Malaysia ini turut mendapat sokongan pelakon dan model terkenal tanah air, Siti Saleha yang juga telah melancarkan kempen untuk mengumpul dana khusus bagi membantu mereka yang memerlukan di Malaysia.

Iklan

Meskipun tempoh pengumpulan dana semakin suntuk, namun Siti Saleha percaya dengan sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia.

“Aktiviti kerja amal memberi satu kepuasan kepada saya. Melihat senyuman yang terukir di wajah-wajah mereka yang dibantu memberi satu kebahagiaan yang sukar diungkapkan.

“Saya memang mempunyai impian untuk menubuhkan sebuah yayasan kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Jadi dengan melibatkan diri dalam aktiviti sebegini dapatlah ia menjadi serampang dua mata kepada saya dalam menimba pengalaman untuk mengumpul dana kebajikan serta berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Iklan

Enam projek yang dilancarkan dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia ini menggunakan platfrom laman web launchgood.com bagi mengumpulkan dana.

 

(SUMBER/FOTO: Islamic Relief)