TAYANGAN filem seram, A Quiet Place Part II dan filem aksi, Fast & Furious 9 telah ditangguhkan akibat penularan virus koronavirus (Covid-19) .

Perkara itu diumumkan sendiri oleh syarikat pengedaran filem United International Pictures Malaysia, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Paramount Pictures membuat keputusan terbabit setelah melihat keadaan semasa yang berlaku kini.

“Selepas membuat pertimbangan, kami membuat keputusan untuk menangguhkan tayangan filem A Quiet Place Part II ke satu tarikh baharu dan kami akan cuba untuk menayangkan ia pada tahun ini sekiranya masalah Covid-19 reda,” ujar wakil syarikat berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun bagi peminat aksi lumba kereta, Fast & Furious 9, filem yang sepatutnya menemui penonton di Malaysia pada 21 Mei ini akan ditayangkan pada tahun hadapan dan pengumuman tarikh baharu akan dibuat kelak.

Iklan

Sebelum ini, francais James Bond, No Time To Die diumumkan bakal ditangguhkan sehingga November 2020.