MINAT yang mendalam dalam bidang nyanyian mendorong Adam Izzy menimba pengalaman untuk dijadikan bekalan sebelum menyertai dunia seni.

Jelas Adam Izzy, menyedari persaingan yang perlu dihadapi, dia mengambil langkah termasuk mengumpul duit dan membeli kelengkapan berkaitan penerbitan muzik bagi memastikan dirinya faham secara menyeluruh berkaitan bidang yang diceburi.

“Saya kumpul duit sedikit demi sedikit dan beli peralatan berkaitan serta belajar mengenai muzik supaya saya lebih faham.

“Saya juga belajar di YouTube dan banyak bertanya kepada rakan dan orang berpengalaman mengenai bidang ini,” katanya.

Bagi Adam, 27, penerimaan baik single Bahasa Inggerisnya tahun lalu memberikan semangat untuk muncul dengan karya terbaru Tak Bersalah yang dilancarkan baru-baru ini.

Bekas penyampai Hitz FM ini juga berharap single terbaharu ciptaan Omar K bersama Ikhwan Fatanna dan dirinya sendiri diterima baik oleh peminat industri muzik tempatan.

“Saya berharap Tak Bersalah yang mempunyai sentuhan Pop R&B sesuai dengan halwa telinga semua. Dalam lagu ini pelbagai emosi dikongsi.

“ Lagu ini juga menceritakan seorang lelaki yang mempertahankan dirinya dan yakin kebenaran akan terbukti akibat salah faham,” katanya yang turut mahir bermain piano.

Lagu Tak Bersalah yang mempunyai lirik dalam bahasa Melayu serta bahasa Inggeris boleh didengari di semua platform digital dan muzik video ditonton di YouTube Adam Izzy.

ADAM IZZY
Dari dunia penyampaian radio ke bidang nyanyian, Adam Izzy tampil dengan single kedua, Tak Bersalah.

Adam berkata, dia juga selesa menyanyikan lagu bahasa Melayu kerana memang mempunyai rakan serta peminat yang menyokong kerjaya muziknya.

“Bila saya keluar dengan single bahasa Inggeris tahun lalu berjudul Dying Inside, memang ada yang cadangkan saya nyanyikan lagu Melayu.

“Setelah berbincang dengan pengurusan dan rezeki dapat bekerjasama dengan komposer hebat seperti Omar membuatkan saya bersemangat untuk tampil dengan lagu Melayu pula,” jelasnya.

Iklan

Adam bermula di pentas komersial menerusi iklan beberapa jenama ternama sejak kecil sehingga dewasa.

Malah dia juga diberi kepercayaan mengendalikan beberapa acara antarabangsa sebagai pengacara serta kempen yang dijalankan.

Berkenaan persaingan dengan ramai bakat baharu sedia ada, Adam berkata, dirinya hadir dengan bakat yang ada untuk dikongsi dengan peminat industri muzik tempatan.

“Saya mahu memeriahkan industri dan pada masa yang sama menjual bakat saya. Saya percaya ada yang akan menyokong usaha ini.

Iklan

“Masing-masing pasti ada citarasa muzik dan saya kongsikan apa yang saya ada untuk anda semua,” ujarnya yang sering membuat cover lagu-lagu popular di laman YouTube miliknya dan pernah mendapat pujian dari penyanyi tersohor, Faizal Tahir.

Bagi yang mahu mengikuti perkembangan Adam, boleh ikuti laman Instagram @adamizzy, Facebook Page dan YouTube : Adam Izzy.