PENYANYI Aina Abdul mengakui sangat sedih tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Seremban sebagaimana yang sering dilakukan saban tahun.

Bagaimanapun, pelantun lagu Sumpah itu akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan orang ramai merentas negeri untuk sambutan hari raya berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Pada awalnya memang agak sedih tak dapat balik beraya dengan ibu dan keluarga, apatah lagi perjalanan ke kampung saya hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.

“Bagaimanapun demi keselamatan bersama terutamanya orang-orang yang kita sayang, adalah lebih baik kita beraya di mana kita berada sekarang.

“Saya percaya raya yang berbeza ini penuh dengan rahmat dan akan jadi kenangan yang akan diingati sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Aina, dia bakal beraya di Kuala Lumpur buat pertama kali dan dan cuba membuat persiapan raya sendiri berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sebelum ini saya tidak ambil tahu sangat tentang persiapan raya kerana semuanya akan diuruskan ibu dan kakak.

“Jadi bila beraya tanpa mereka, kenalah buat sendiri semuanya. Walaupun hanya  bersendirian di Kuala Lumpur, raya tetap raya.

“Minggu terakhir Ramadan, saya mula mencari juadah raya yang dijual secara online, terutamanya juadah kegemaran saya seperti ketupat palas dan rendang daging sebagai persiapan untuk raya nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, jika tidak kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia dan keluarga merancang untuk pulang ke Johor Bahru (JB) menziarahi saudara-mara di sana, selain singgah di rumah lama mereka.

“Setiap tahun kami akan beraya di Johor Bahru atas dua sebab iaitu untuk menziarahi sanak-saudara di sana dan singgah di rumah lama kami yang banyak menyimpan kenangan ketika kecil.

“Saya dilahir dan dibesarkan di JB sebelum mengikut keluarga berpindah ke Seremban selepas arwah ayah dinaikkan pangkat.

Iklan

“Jadi bila tiba raya, kami adik-beradik mesti balik JB kerana nak tengok rumah lama sehingga akhirnya jadi rutin kami sekeluarga setiap tahun,” ujarnya.

Mengimbas kenangan raya terindah yang pernah dilaluinya, kata Aina, semestinya ketika berpeluang meraikan Aidilfitri bersama arwah bapanya yang meninggal dunia lebih 12 tahun tahun lalu.

“Semasa hayatnya, ayah berkerusi roda kerana kakinya dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis menyebabkan dia tidak dapat bergerak aktif.

Iklan

“Bagaimanapun setiap kali raya, ayahlah yang paling ligat dan ajak kami beraya di sana-sini. Kalau boleh, semua rumah saudara-mara dia nak pergi.

“Bila arwah tak ada, kemeriahan raya kami tidak lagi sama seperti dulu. Tapi saya dan adik-beradik akan pastikan raya kami sentiasa sempurna bersama ibu meskipun disambut sederhana,” kata Aina.

 

(FOTO: Instagram Aina Abdul)