BIARPUN  berbeza aliran dan fahaman muzik, penyanyi Akim Ahmad dan Stacy Anam ternyata tampil serasi sebagai pasangan duet, sekali gus mencipta magis tersendiri.

Tidak hairanlah single duet terbaharu mereka, Aku Kau dan Muzik yang dilancarkan pada 14 Februari lalu, mendapat sambutan luar biasa daripada peminat muzik.

Lagu hasil ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik iaitu pasangan suami isteri itu sendiri bersama Freddy secara keseluruhan menceritakan kisah mereka berdua yang berjuang dalam aliran sama dan kemudian mendirikan rumah tangga atas nama cinta.

Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam, 30, berkata, lagu itu dianggap istimewa kerana dihasilkan dari dalam hati selain melalui proses yang sangat teliti.

“Lagu ini sudah lama disiapkan iaitu sejak Ogos tahun lalu. Tapi, disebabkan kami terbabit dalam program Mentor 2019, projek ini tertangguh. Awal tahun ini, baru kami ada kelapangan untuk memulakan proses rakaman.

“Melodi siap dulu dan baru saya tulis lirik. Selepas itu, dapat judul dan kami sepakat memilih Aku Kau dan Muzik. Tidak dijangka pula, melodi dan lirik kena dengan kami yang mana bertemu dalam bidang ini.

“Lagu ini dihasilkan ikhlas dari dalam diri kami yang mana ekspresi kami sebagai suami isteri. Disebabkan itu, kami cukup teliti dari semua sudut termasuk melodi dan muzik,” katanya.

Menariknya, lagu tersebut merupakan karya sulung dan terbitan sepenuhnya oleh syarikat mereka sendiri iaitu Rhythm & Rhyme Entertainment.

Sementara itu, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 29, mengakui, dia dan Stacy tidak menjangka penghasilan lagu itu lebih mendalam sekali gus memberikan warna baharu dalam muzik mereka.

“Apabila lagu ini siap sepenuhnya, saya menganggap ia magis. Memang tidak menjangka sama sekali hasilnya boleh pergi sedalam ini.

Iklan

“Mungkin ini berkat kerjasama kami dan Freddy yang bersama-sama monitor proses penghasilan lagu ini dari awal sampai habis. Apa yang diinginkan dalam lagu dapat dipersembahkan.

“Gabungan saya dan Stacy dalam bidang bidang penulisan lagu ini adalah saling melengkapi. Saya akan bertanya dan meminta pandangan daripadanya. Apa yang dirasakan kurang, dia akan tambah,” katanya.

Akim mengakui semakin selesa bekerjasama dengan isterinya sebagai pasangan komposer.

Iklan

“Kami selesa bekerjasama. Apatah lagi, sekarang banyak luangkan masa bersama. Proses nak buat lagu bukan mudah. Perlukan masa untuk mendapatkan idea.

“Jadi, ada ketika kami akan bercuti dan berkaraoke bersama untuk mencari inspirasi. Apabila masing-masing dapat idea, kami akan gabungkan,” katanya.

Single Aku Kau dan Muzik kini boleh didengar dan dilanggan di semua platform digital muzik. Manakala lirik video rasmi lagu itu boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.