BINTANG popular Indonesia, Cita Citata akhirnya membuat penjelasan dan meluahkan perasaannya yang terpaksa membatalkan perkahwinannya bersama bekas tunang, Roy Geust, baru-baru ini.

Luahan tersebut dilakukan penyanyi yang popular dengan lagu Sakitnya Tuh Di Sini itu  menerusi temubual eksklusif di !nsert Live, Trans TV.

Biarpun kecewa dengan apa yang terjadi, Cita Citata akur dengan ketentuan jodoh.

“Bohonglah kalau saya katakan hati tidak hancur dengan apa yang terjadi ini. Apa yang boleh saya lakukan hanya berserah pada ALLAH.

“Jika ini yang terbaik buat saya, maka saya harus ikhlaskan hati agar menjadi orang yang lebih sabar dan reda dengan dugaan berat ini.

“Banyak harapan yang saya simpan dalam perhubungan ini dan banyak juga pengorbanan yang dilakukan baik dari pihak saya, mahupun dia. Tapi inilah takdir yang tertulis,” ujarnya

Menurut Cita Citata, persiapan majlis perkahwinannya bersama jejaka kelahiran Belanda yang sudahpun memeluk Islam itu, telah pun siap sepenuhnya dan hanya menunggu untuk membuat jemputan sahaja.

“Saya bergelut melakukan persiapan perkahwinan dalam keadaan pandemik Covid-19, apatah lagi tiada kerjaya seni terhenti dan tiada tawaran kerja.

“Namun saya tetap melakukan semua persiapan dengan sebaik mungkin kerana mahu ia menjadi momen berharga yang akan berlaku pertama dan terakhir  dalam hidup saya untuk dikenang sampai bila-bila.

“Bagaimanapun manusia itu hanya merancang dan takdir yang menentukan. Dengan kuasa ALLAH, sebelum pernikahann sudah terlihat bagaimana saya harus mengambil keputusanterbaik untuk masa depan.

“Mujurlah keluarga memahami dan teman-teman rapat menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi pada saya,” katanya.

Tambah Cita Citata lagi, biarpun usaha dan pengorbanan yang dilakukan selama ini seperti sia-sia, dia cuba menguatkan semangat dan nekad membatalkan majlis perkahwinan yang lama dirancang itu. Bagaimanapun, penyanyi berkenaan tidak menjelaskan punca keputusan itu dibuat.

“Alhamdulillah masih ada iman untuk bisa mengikhlaskan. Saya sayang diri sendiri, saya menghargai dan tahu nilai yang ada pada diri saya, jadi saya putuskan keputusan yang berat itu.

“Saya tidak mahu ada salah faham, jadi saya membuat penjelasan tentang apa yang terjadi ini.

“Tidak perlu tahu sebab saya saya mengambil keputusan ini, tetapi yang penting sekarang bagaimana caranya saya boleh move on, dan bagaimana untuk menjadi orang yang kuat,” katanya reda.