Berita pemergian mengejutkan beberapa selebriti sejak akhir-akhir ini turut memberi kesan kepada penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar.

Faktor itu telah mendorong selebriti berusia 30 tahun itu membuat pemeriksaan kesihatan terutamanya bagi mengesan masalah pada bahagian jantung.

Menurut Alif, selepas berakhirnya program Iron Man baru-baru ini, dia mendapat tawaran untuk menjalinkan kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi menggerakkan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai kesihatan jantung.

“Sejujurnya saya tidak berniat untuk menyentuh mengenai kematian beberapa selebriti yang berlaku baru-baru ini.

“Namun saya tak dapat nafikan kes meninggal dunia dalam tidur dan serangan jantung selepas bersenam telah menimbulkan kebimbangan dan kesedaran pada saya.

“Baru-baru ini saya menjalani ujian kesihatan yang dipanggil VO2 Max, di mana saya membuat pemeriksaan lengkap termasuk ujian darah, air kencing, pemeriksaan keseluruhan pada anggota badan dan terutamanya jantung.

“VO2 Max merupakan satu index terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan ketahanan pernafasan seseorang individu apabila menjalani sesuatu latihan kecergasan yang sistematik.

“Saya akan muat naik video saya menjalani pemeriksaan itu di saluran YouTube saya nanti dan saya berharap dapat mendidik masyarakat di luar sana tentang pentingnya menjaga ‘enjin’ (jantung) kita,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Family Spy yang berlangsung di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan sahaja menjalani pemeriksaan kesihatan, akui Alif dia juga sudah menulis wasiat sejak dikurniakan anak pertama lagi bagi memudahkan isteri dan anak-anaknya untuk meneruskan kehidupan selepas ketiadaannya.

Jelasnya, dia mengikut nasihat Nabi Muhammad SAW yang menyarankan setiap umatnya untuk menulis wasiat sejak awal.

Iklan

“Saya tak berapa pandai mengenai hal ini tetapi Nabi Muhammad SAW pun pernah berpesan setiap manusia yang hidup perlu membuat wasiat sebelum mereka tidur (menutup mata).

“Selain wasiat, saya pun mengambil insurans sejak anak pertama lahir sebab kita tidak tahu sampai bila kita akan hidup di dunia ini.

“Kita kena tingkatkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat kita mengenai kepentingan mengambil insurans sebab ia penting untuk isteri dan anak-anak selepas ketiadaan kita nanti,” jelasnya.

Iklan
Keluarga Alif Satar
Alif bersama isteri dan tiga orang anaknya.

Alif mendirikan rumah tangga dengan Shadila Halid pada 15 September 2014 dan dikurniakan tiga anak, Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3, dan Muhammad ‘Ali yang kini berusia lima bulan.

Dalam pada itu, penyanyi yang kini terkenal dengan lagu I Want You To Love Me itu mengakui rezekinya pada tahun ini sangat baik.

Selain sibuk dengan persiapan sebagai pengacara Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang akan berlangsung 12 April ini, Alif juga sibuk menjalani latihan sebelum memasuki set penggambaran filem Bakara yang akan bermula pada Julai depan.