BINTANG Pretty Little Liars versi Asia, Eyka Farhana mengakui teruja dapat  kembali ke lokasi penggambaran drama terbaru lakonannya, Sweet Hannan yang hampir tiga bulan tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 25, meskipun perlu bekerja dalam normal baharu dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), dia yakin semua yang terlibat tetap memberikan yang terbaik.

“Selepas hampir tiga bulan tertangguh, kami kembali ke lokasi drama Sweet Hannan untuk menyambung penggambaran yang tertangguh pada Isnin (hari ini).

“Alhamdulillah akhirnya dapat berkerja semula seperti biasa walaupun dalam situasi normal baharu dan pematuhan SOP,” katanya kepada SinarPlus.

Meskipun pihak produksi mengamalkan SOP yang ditetapkan, Eyka bagaimanapun tetap mahu mengambil langkah lebih berjaga-jaga untuk keselamatan diri sendiri.

“Saya memutuskan untuk mekap sendiri biarpun pihak produksi menyediakan jurumekap patuh SOP untuk semua pelakon yang terlibat.

“Dalam masa yang sama ia juga dapat menjimatkan masa dan memudahkan saya ketika di lokasi.

“Jika masing-masing saling bertanggungjawab, Insya-ALLAH proses penggambaran juga akan berjalan lebih lancar. Kita jaga kita,” ujar Eyka lagi.

Mengulas tentang perkembangan kerjaya seninya selepas PKP, kata Eyka, pada mulanya dia risau jika tidak ada tawaran berlakon kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Iklan

“Sejak krisis Covid-19 melanda negara dan dunia lebih tiga bulan lalu, saya terfikir mungkin selepas ini tidak akan mendapat tawaran berlakon seperti biasa lagi.

“Jadi saya buat persediaan dengan memberi fokus kepada bisnes baju raya yang saya jual secara atas talian.

“Bagaimanapun selepas penggambaran kembali dibenarkan, saya menerima beberapa tawaran baharu dalam lakonan dan untuk buat iklan TV.

Iklan

“Alhamdulillah keadaan kembali pulih secara perlahan-lahan dan saya berharap semua penggiat seni dapat bekerja seperti biasa selepas ini,” katanya yang bakal muncul dalam filem Polis Evo 3, tidak lama lagi.

 

(FOTO: Instagram Eyka Farhana)