AME 2020 bantu tabung Frontliner Covid-19

AME 2020 bantu tabung Frontliner Covid-19
March 27, 2020
Oleh Meen

MELIHAT kepada situasi pandemik Covid-19 yang makin hari makin membimbangkan di Malaysia, pihak produksi Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) mengambil keputusan untuk menyalurkan kutipan terkumpul dari undian fasa kedua menerusi sistem pesanan ringkas atau SMS ke Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 yang dikendalikan oleh Sinar Harian.

Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian adalah bertujuan bagi membantu barisan hadapan Malaysia seperti doktor dan jururawat dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Tabung itu membolehkan rakyat di negara ini turut sama tampil membantu barisan hadapan bagi mengumpul dana kelengkapan perlindungan diri atau personal protective equipment (PPE) dan makanan yang ternyata mencuri tumpuan warganet.

Ternyata langkah yang diambil oleh pihak produkti AME 2020 adalah satu usaha murni yang bersifat kemanusiaan. Kutipan yang bakal disalurkan adalah dari undian SMS sejak pembukaan fasa kedua yang bermula pada 3 Mac lalu sehingga tarikh tutup undian pada 31 Mac ini.

Seiring dengan keputusan yang dibuat ini, kesemua kaedah talian undian fasa kedua bagi penganjuran AME 2020 juga akan ditutup secara rasmi pada 31 Mac 2020, Selasa, jam 6.00 petang.

Iklan

Ini termasuklah undian menerusi kiriman SMS, mahupun di platform online www.anugerahmeletopera.com.my dan di aplikasi SYOK.

Kiraan penuh undian untuk penganjuran AME 2020 akan dibuat selepas talian undian ditutup, mengikut kepada perancangan asal.

Pengumuman terkini berkenaan tarikh baharu, lokasi dan butiran lanjut mengenai penganjuran AME 2020 hanya boleh dibuat apabila situasi getir kemelut wabak berjangkit ini reda.

Iklan

Pihak AME 2020 ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah mengundi kerana anda telah memberi sumbangan kepada Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 melalui kiriman SMS anda.

Ternyata untuk tampil menghulurkan bantuan terhadap apa yang berlaku dunia hari ini ada pelbagai cara dan kaedah.

Semuanya di tangan anda dan kita sebenarnya mampu untuk membantu walaupun dengan sekecil-kecil bentuk bantuan.

Bagi anda yang ingin membantu juga boleh berbuat demikian dengan salurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).

About Meen

Biodata Penulis