PENYANYI legenda Indonesia, Hetty Koes Endang meluah rasa syukur apabila anak perempuannya, Afifah Qamariah, 24, selamat mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya, Faldo Arsanda di BSD, Tangerang Selatan, Indonesia, minggu lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instragrannya, Hetty yang juga bekas juri program Gegar Vaganza 2019 itu ternyata teruja bakal menerima menantu pada hujung tahun ini.

“Puji syukur kehadirat ALLAH SWT, hari bahagia yang sudah dilalui oleh anakanda Afifah Yusuf, puteri bongsu saya kelmarin.

“Alhamdullillah berjalan dengan lancar. Berkah dan reda kemarin sangat berlimpah berkat seluruh doa yang tiada hentinya terucap daripada saya, suami, seluruh keluarga dan juga daripada keluarga anakanda Faldo Arsanda.

“Kelmarin menjadi hari yang sangat penentu bahagia kami sekeluarga untuk bisa melangkah ke jenjang berikutnya. Insya-ALLAH semua diberikan kesihatan. Dijauhkan dari masalah,” ujarnya.

Menurut Hetty, majlis tersebut dilangsungkan mengikut adat Bugis Makassar dari sebelah keluarganya dan adat Padang dari keluarga bakal menantunya.

Dalam kemeriahan dan keterujaan meraikan majlis bersejarah itu, kedua-dua belah pihak keluarga dilihat mematuhi aspek protokol kesihatan yang telah digariskan berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Iklan

Hetty, suami dan keluarga bakal menantunya dilihat mengenakan alat perlindungan wajah (face shield), selain tetamu dan petugas majlis yang turut mengenakan pelitup muka.

Difahamkan majlis tersebut dirancang untuk dilangsungkan lebih awal, namun tertunda berikutan Covid-19. Pasangan ini bakal disatukan pada 21 November depan.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Hetty Koes Endang)