PENYANYI kelahiran Kota Kinabalu, Andi Bernadee kekal positif biarpun terpaksa menyambut Ramadan bersendirian dan jauh daripada keluarga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile​, 29, kali terakhir dia berjumpa keluarganya sekitar lapan bulan lalu ketika mereka turun ke Kuala Lumpur.

“Kalau ikutkan sebelum ini, setiap kali awal Ramadan memang saya akan bersama keluarga, sama ada mereka turun ke Kuala Lumpur atau saya pulang ke Kota Kinabalu.

“Sebelum PKP dilaksanakan saya memang terikat dengan kerja, sebab itu saya tak pulang ke kampung. Lagipun ketika itu kes Covid-19 sudah mula meningkat, jadi saya tak mahu ambil risiko.

“Abang saya tinggal di Wangsa Maju, tapi disebabkan PKP tak dapatlah kami berjumpa. Jadi terpaksalah sambut Ramadan seorang diri. Juadah pun masak atau beli sahaja menerusi khidmat penghantaran.

“Sedih memang sedih tapi saya kekal positif saja,” katanya kepada Sinar Harian.

ANDI BERNADEE
Andi berkata dia memasak sendiri juadah ringkas untuk bersahur atau berbuka.

Tambah penyanyi yang terkenal dengan lagu Donde itu, antara lain yang dirinduinya ketika menyambut Ramadan adalah membeli juadah di bazar Ramadan dan berbuka puasa bersama anak yatim.

“Bazar Ramadan adalah perkara yang dinanti-nantikan setiap kali tiba bulan puasa. Jadi bila tak dapat ke bazar seperti kelaziman memang rasa tak meriah sangat.

“Saya juga rindu untuk berbuka puasa dengan anak yatim dan mengikuti program khidmat masyarakat seperti memasak bubur lambuk serta seterusnya diagih-agihkan.

“Harapnya ada rezeki, panjang umur untuk kita menyambut Ramadan lagi pada tahun depan dan dapat buat aktiviti sama seperti tahun lalu,” ujarnya.

Ditanya aktivitinya sepanjang musim PKP itu, Andi berkata, selain mengisi masa melakukan aktiviti berfaedah dan beribadat, dia juga terlibat sebagai sukarelawan mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Iklan

https://www.instagram.com/p/B-WV3R3Hg1O/?utm_source=ig_web_copy_link

“Saya masih lagi terlibat dengan aktiviti sukarelawan mengagihkan bantuan makanan dan keperluan kepada mereka memerlukan.

“Tapi setakat ini saya masih menunggu panggilan kerana kami mengikut giliran. Setiap kali dipanggil, hanya ada lebih kurang 10 hingga 12 orang satu kumpulan yang akan bekerja dan mengikut penjarakkan sosial seperti ditetapkan,” jelasnya.

Sementara itu berkongsi mengenai kerjaya seninya, Andi berkata, syarikat rakamannya, Warner Music Malaysia telah merancang untuk mengeluarkan album penuhnya selepas raya nanti.

Iklan

Bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan sehingga tahun depan.

“Saya tak nak ambil risiko untuk lancar album tahun ini juga seandainya PKP sudah berakhir. Jadi kami ambil keputusan untuk keluarkan secepatnya awal tahun depan.

“Namun semua itu bergantung dengan keadaan semasa kelak,” katanya yang memberitahu album tersebut mengandungi tujuh buah lagu.