JUARA Mentor Milenia 2019, Apex Tajudin mengakui Aidilfitri pada tahun ini cukup bermakna buat dirinya dan isteri apabila buat pertama kalinya dapat diraikan bersama cahaya mata sulung mereka, Muhammad Danish Ar-Raaziqen yang kini berusia 11 bulan.

Menurut Apex atau nama sebenarnya, Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tajuddin, 24, sambutan raya kali ini cukup berbeza buatnya kerana segala keutamaan diberikan kepada anak.

“Pada tahun lalu, saya dan isteri hanya beraya di hospital kerana menyambut kelahiran anak kami.

“Jadi kali ini, kami berdua sangat teruja meraikan 1 Syawal bersama anak yang tentunya memberikan kemeriahan berbeza berbanding sebelum ini.

“Walaupun hanya beraya di rumah bersama keluarga terdekat, ia sudah cukup buat kami merasai pengalaman baharu beraya sebagai ibu dan bapa,” katanya yang beraya di Kuala Terengganu.

Biarpun banyak perancangan yang ingin dilakukan pada Aidilfitri kali ini tidak kesampaian kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Apex menganggap apa yang berlaku itu mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Selalunya sambutan raya saya dan keluarga sangat meriah kerana kami mempunyai ramai sanak saudara, baik yang jauh mahu pun dekat.

“Setiap kali raya, mesti buat rumah terbuka kerana pada waktu inilah kami boleh berkumpul ramai-ramai.

“Bagaimanapun disebabkan PKPB, tradisi rumah terbuka tak dapat diadakan seperti selalu. Memang sedih tetapi dalam masa yang sama, saya percaya ia adalah yang terbaik untuk semua orang buat ketika ini,” ujarnya berniaga Tauhu Bergedel sepanjang Ramadan lalu.

Iklan

Mengimbau kembali sambutan rayanya sebelum ini, kata Apex, setiap kali raya dia dan rakan-rakan sekampung akan berkonvoi untuk beraya dari rumah ke rumah.

“Kalau tak kerana PKPB, pastinya saya dan rakan-rakan akan meneruskan tradisi sambutan raya dengan berkonvoi beramai-ramai mengunjungi rumah jiran tetangga.

Iklan

“Itu antara aktiviti yang saya sangat rindukan kerana kemeriahan raya begitu terasa selain dapat mengeratkan silaturrahim,” kata Apex.

 

(FOTO: Ihsan Apex Tajudin)