SELEPAS 25 hari dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat positif Covid-19, pelakon Ashraf Muslim akhirnya bebas daripada jangkitan tersebut dan dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Berita itu dikongsi Ashraf, 39, menerusi laman Instagram (IG) miliknya pada Khamis, sekali gus meluahkan rasa syukurnya dapat kembali bersama keluarga.

Apatah lagi sudah hampir dua bulan dia berjauhan daripada kedua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi serta anak-anak.

“Masanya sudah tiba, berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabat saya di wad ini. Mereka saya anggap sebagai keluarga. Allahuakbar, tak boleh nak terjemahkan perasaan ini. Tiga hari sebelum balik memang sayu untuk tinggalkan wad.

“Saya mohon maaf kepada pakcik, abang-abang, adik-adik warga wad 31 dan doktor serta jururawat yang menjaga saya dan rakan-rakan di sini. Terima kasih kerana terima kami seadanya.

“Tak lupa juga kepada mereka yang menyumbang makanan dan minuman kepada kami di sini. Semoga Allah murahkan rezeki kalian semua,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ashraf turut mendedahkan dia sebenarnya disahkan bebas jangkitan sejak 23 April lalu iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan. Bagaimanapun dia memilih untuk terus dikuarantin di wad tersebut atas alasan tertentu.

“Saya ingin meminta maaf kepada kawan-kawan semua termasuk rakan-rakan artis dan wartawan yang ada bertanyakan bila saya boleh keluar dari wad, tapi saya sentiasa mengelak untuk menjawab.

“Sebenarnya saya sudah lama negatif (Covid-19) iaitu sehari sebelum Ramadan tapi saya memilih tinggal di wad 31 untuk kuarantinkan diri di wad.

Iklan

“Banyak sebab keputusan ini dibuat dan yang paling penting ialah saya dapat mengerjakan solat berjemaah pada bulan Ramadan dan ibadah yang dapat buat bersama-sama dengan pesakit.

“Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang. Maafkan saya kalian dengan tindakan saya itu,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian tersebut, Ashraf meminta orang ramai mendoakan pesakit-pesakit Covid-19 agar cepat pulih dan dapat berjumpa bersama keluarga masing-masing serta penyakit tersebut segera hilang.

Iklan

Ashraf dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19 pada 12 April lalu. Terdahulu sebelum itu, Ashraf terlibat dalam penggambaran drama Demi di Scotland dan pulang ke tanah air pada 31 Mac.

 

(SUMBER/FOTO: Instagram Ashraf Muslim)