PENYANYI Penyanyi Asmidar meluahkan rasa syukur apabila masih bekesempatan untuk meraikan Aidilfitri bersama kedua ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain meskipun beraya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Asmidar, biarpun raya kali ini disambut secara sederhana dan mengikut normal baharu, dia tetap teruja menantikan 1 Syawal.

“Biarpun beraya dalam PKPB, saya tetap teruja untuk beraya kerana dapat meraikan bersama ibu dan ayah.

“Pada tahun lalu, mereka berdua tidak dapat beraya bersama kami kerana mengerjakan umrah di Tanah Suci. Kami adik-beradik beraya serba ringkas dan tidak merasa kemeriahan raya tanpa mereka.

“Jadi bila kali ini dapat kembali bersama, saya dan adik-beradik sangat bersyukur. Biarpun tidak dapat balik beraya di Perak seperti mana tahun-tahun sebelum ini, raya kami tetap bermakna,” ujarnya.

Berkongsi persiapan raya untuk tahun ini, kata pemilik nama sebenar Norhasmidar Ahmad, 34, dia dan keluarga hanya bersederhana dan menumpukan persiapan untuk juadah raya sahaja.

“Walaupun pada tahun ini saya ada jual baju raya, namun untuk saya sendiri tidaklah beriya sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Cukup sekadar apa yang ada untuk dipakai pada 1 Syawal.

“Bagaimanapun untuk juadah raya, insya-ALLAH makanan kegemaran yang selalu ada di pagi raya, tetap akan disediakan seperti nasi impit, rendang dan kuih raya.

“Cukuplah untuk kami seisi keluarga bila berkumpul di pagi Syawal nanti. Biarpun ada kelonggaran untuk beraya di kawasan yang sama, kami sekeluarga memilih untuk hanya berada di rumah sahaja,” katanya.

Iklan

Asmidar yang tampil dengan lagu raya baharu, Inilah Hari raya mengharapkan agar orang ramai yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman masing-masing tidak terlalu sedih, sebaliknya menikmati Aidilfitri dengan penuh rasa syukur.

“Hanya pada tahun ini sahaja kita tidak dapat menyambut raya sebagaimana kebiasaan,  pasti ada hikmah di sebalik semua ini.

“Sekatan merentas negeri yang dikenakan ini pun untuk keselamatan semua. Buat apa balik beraya kalau kita tanpa sedar membawa virus kepada orang-orang yang kita sayang.

Iklan

“Gunalah segala kemudahan teknologi yang ada untuk berhubung dengan keluarga yang jauh di mata. Raya tetap raya, cuma cara sambutannya sahaja yang berbeza,” katanya.

 

(FOTO: Laboo by Asmidar)