DI SEBALIK kebaikan kopi, satu perkara yang perlu diketahui, minuman tersebut tidak bagus untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut Healthline, kopi adalah satu bentuk ‘ketagihan‘ yang adakalanya sukar diawasi.

“Kopi mengandungi kafein yang merupakan perangsang. Di Amerika Syarikat, ia menjadi satu hal yang sangat pelik untuk memberi anak-anak minuman yang berkafein. Di Kanada pula, pengambilan kafein mempunyai had maksimum iaitu 45 miligram sahaja dalam sehari untuk si kecil,“ kata laman web kesihatan berkenaan.

Terdapat beberapa alasan mengapa kopi tidak sesuai untuk diteguk oleh si cilik. Berikut perincian yang dikongsikan oleh HelloDoktor:

i) Mempengaruhi pembentukan kaviti.

Minum kopi dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan kaviti pada gigi kanak-kanak kesan daripada tahap keasidan kopi.

Asid dalam kopi lebih mudah untuk merosakkan enamel gigi, sekali gus akan meningkatkan risiko berlakunya kaviti.

ii) Menjadi hiperaktif.

Selain itu, kanak-kanak yang minum kopi juga akan berhadapan dengan masalah dalam memberi penumpuan terhadap sesuatu dan akan sering mengalami kegelisahan.

Kesan kafein daripada kopi akan bertahan berjam-jam lamanya. Oleh itu, ia menyebabkan kanak-kanak yang minum kopi ketika berada di sekolah akan mengalami kesan negatif terhadap pembelajarannya.

iii) Punca insomnia.

Kanak-kanak yang berusia lima hingga 12 tahun memerlukan sekurang-kurangnya 11 jam sehari untuk tidur.

Namun demikian, tidak ramai kanak-kanak mendapat masa tidur secukupnya akibat kepadatan jadual seharian mereka. Perkara berkenaan akan mengundang gejala kurang tidur lebih-lebih lagi jika mereka minum kopi.

iv) Hilang selera makan.

Perlu diketahui bahawa otak kanak-kanak sebenarnya jauh lebih sensitif terhadap kafein berbanding otak individu dewasa.

Kafein akan bertindak balas dengan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan kehilangan selera makan.

Iklan

Sekiranya anak-anak sudah mula ketagih kafein, hal itu mungkin akan menjejaskan tumbesaran mereka kelak.

v) Punca tekanan darah menjadi tinggi.

Kafein yang terkandung dalam kopi akan menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan. Pastinya, jika diambil pada amaun yang sedikit, kopi dapat meningkatkan daya tumpuan.

Jika sebaliknya, kafein akan menyebabkan ketegangan, kegelisahan, pening kepala dan peningkatan tekanan darah.

Iklan

vi) Tulang kanak-kanak merosot.

Minum berkafein tidak mempunyai sebarang kalori yang mendatangkan apa-apa nutrien.

Kanak-kanak yang minum kopi tidak akan mendapat vitamin dan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran, lalu menyebabkan mereka lebih berisiko mengalami kondisi kekurangan nutrien.

Bukan itu sahaja, kopi juga bersifat diuretik. Ia bermaksud minuman itu akan melajukan proses urinasi yang akan menyebabkan kehilangan kalsium daripada badan, sekali gus menyebabkan kemerosotan pada tulang.

Justeru, kepada ibu bapa, kawallah pengambilan kopi anak-anak yang masih kecil. Bukan tidak boleh minum langsung, tetapi biarlah pada kadar sederhana.