Awas! Ubat boleh bertukar menjadi racun

May 25, 2020
Oleh Farah Eliani

HAMPIR setiap rumah mempunyai atau menyimpan ubat sama ada dalam bentuk ubat biji atau cecair yang boleh dimakan, atau bentuk yang tidak boleh dimakan seperti ubat sedut, supositori, krim, salap, losyen dan ubat titis.

Setiap ubat adalah racun sekiranya tidak digunakan mengikut peraturan yang disarankan.

Iklan

Oleh itu, setiap arahan penggunaan pada label atau yang diberitahu oleh doktor dan petugas di kaunter farmasi mestilah difahami dan dipatuhi untuk mengelakkan risiko keracunan.

Selain itu, keracunan juga boleh berlaku akibat kelalaian ibu bapa atau penjaga dalam mengambil langkah-langkah tertentu memastikan semua ubat-ubatan dalam rumah sentiasa dijauhkan daripada kanak-kanak.

Apakah keracunan tanpa disedari dan keracunan tidak sengaja?

Iklan

Keracunan ubat-ubatan pada kanak-kanak boleh berlaku secara tidak disedari atau tidak sengaja. Keracunan tanpa disedari biasanya terjadi kerana salah anggapan ibu bapa atau penjaga terhadap ubat.

Kebanyakan kita menganggap bahawa ubat adalah ‘sangat selamat’ dan mengambil sikap sambil lewa semasa memberikan ubat tersebut kepada anak.

Iklan

Pastikan anda memahami betul-betul arahan yang tercatat pada label ubat contohnya dos atau sukatan ubat yang betul, masa penggunaan dan cara penggunaan ubat yang tepat.

Selain itu, arahan tambahan yang diberikan oleh petugas di kaunter farmasi juga perlu difahami dengan baik.

Sukatan ubat cecair mesti tepat dan menggunakan penyukat yang betul dan elakkan memberi formulasi ubat untuk orang dewasa kepada kanak-kanak.

Goncang botol ubat cecair dahulu sebelum menyukat untuk memastikan kandungannya dicampurkan dengan baik.

Buang semua ubat-ubatan yang telah luput atau rosak seperti:

1. Ubat yang telah berubah warna, bau atau rasa.

2. Ubat yang telah tamat tarikh luput atau melebihi dua tahun dalam simpanan anda.

3. Ubat cecair antibiotik lebihan yang tidak habis dimakan.

4. Ubat titis mata yang tidak habis dipakai.

Elakkan mengambil ubat yang telah dipreskribkan kepada orang lain walaupun anda mempunyai tanda-tanda sakit yang serupa.

Bagaimana mencegah keracunan ubat?

Elakkan daripada mengambil ubat di hadapan kanak-kanak kerana mereka selalunya akan cuba meniru perbuatan orang dewasa.

Gunakan penutup botol jenis yang tidak dapat dibuka oleh kanak-kanak untuk menyimpan ubat dan produk kesihatan lain.

Orang dewasa yang menghadapi masalah untuk membuka penutup botol jenis tersebut boleh minta untuk mendapatkan penutup botol jenis biasa yang senang untuk dibuka.

Simpan kesemua ubat (preskripsi dan bukan-preskripsi) di dalam bekas asal masing-masing dan sentiasa pasangkan lampu semasa memberi atau mengambil ubat.

Semak tarikh luput ubat anda dari masa ke semasa. Sekiranya ubat anda tidak dilabel dengan tarikh luput, anda boleh membuat anggapan bahawa ubat tersebut akan luput dalam tempoh 6 bulan selepas anda beli.

Elakkan daripada membuang ubat ke dalam tong sampah yang tidak bertutup di bilik masak atau bilik mandi kerana kebanyakan ubat orang dewasa adalah merbahaya dan ini boleh menyebabkan kematian kanak-kanak dan binatang kecil.

Selain itu, berhati-hati dengan cara penyimpanan vitamin, terutamanya produk yang mengandungi zat besi kerana ia boleh menyebabkan keracunan jika diambil dalam dos yang tinggi.

Kanak-kanak adalah lebih mudah mengalami kesan advers berbanding dengan orang dewasa jika terambil dos vitamin berlebihan.

Sekiranya bekas ubat tidak mempunyai sebarang label, atau labelnya tidak jelas dan anda tidak dapat membaca cetakan atas label dengan jelas, jangan gunakan ubat berkenaan.

Pastikan beg yang mengandungi ubat-ubatan disimpan jauh daripada kanak-kanak pada setiap masa dan sentiasalah bersihkan kabinet ubat.

Sumber: www.myhealth.gov.my/ dan Pusat Racun Negara

Iklan
Iklan