PELAKON dan penyanyi, Ayda Jebat serta pengacara, Nabil Mahir selamat mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan secara atas talian (online), hari ini.

Menerusi perkongsian yang dibuat menerusi akaun Instagram milik Ayda Jebat, artis berusia 28 tahun itu memberitahu sudah menjadi tunangan Nabil pada hari ulang tahun kelahiran lelaki itu.

“Lamaran pada hari jadi saya, pertunangan pada hari jadi dia. Saya tahu kita dapat lakukan ini sehingga hari akhir kita. Secara rasminya, tunangan saya.

“Kumbang sudah merisik bunga,
Direstui oleh ahli keluarga,
Lamaran diterima pertunangan pun juga,
Walaupun online tetap mesra dan bahagia,” ujarnya bersama serangkap pantun.

Nabil sebelum ini telah melamar Ayda pada ulang tahun kelahiran pelakon Bukan Gadis Biasa itu 17 Mac lalu.

Iklan

Sementara itu, Nabil menerusi Instagramnya bersama beberapa rangkap pantun menjelaskan situasi ringkas yang berlaku hari ini.

“PKP arahan pemerintah,
Mengingkarinya akan disaman.
Hajat dihati dah nak melimpah,
Ingin menyunting bunga di taman.

Iklan

“Walaupun jauh cinta tidak terhenti,
Kumpulkan ahli keluarga di depan kamera,
Selesai sudah majlis meminang dan pertunangan online kami,
“Harap doa yang baik-baik dari semua,” ujarnya yang turut memaklumkan bahawa gambar mereka merupakan gambar yang disunting.