PELAKON Azhan Rani mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah masuk hari ketujuh.

Kesibukan kerja terutamanya apabila melibatkan penggambaran di luar daerah membuatkan pelakon yang cukup sinonim dengan watak Ustaz Hamadi ini jarang mempunyai kesempatan meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Alhamduillah ketika arahan PKP diumumkan pada 18 Mac lalu, saya kebetulan berada di rumah ibu saya di Kuala Kubu Baru selepas selesai menjalani penggambaran telefilem terbaharu lakonan saya, Khilaf Terakhir, sehari sebelumnya.

“Disebabkan arahan itu, saya tidak pulang ke rumah saya Selayang, sebaliknya terus berada di rumah ibu bersama adik saya sehinggalah hari ini.

“Sepanjang tempoh itu saya bertindak sebagai ketua keluarga untuk menjaga mereka dan saya juga yang akan keluar mencari barang keperluan rumah apabila situasi memerlukan,” kata Azhan kepada Sinar Plus.

Menghargai kesempatan yang ada, kata Azhan, dia menggunakan sepenuhnya tempoh PKP untuk melakukan aktiviti bersama keluarga.

“Bila sibuk dengan kerja, tak banyak benda yang sempat kita lakukan bersama keluarga. Jadi bila kesempatan itu ada, gunakanlah sepenuhnya.

“Tak dapat pergi berjemaah di surau atau masjid, kita boleh buat bersama keluarga di rumah,” ujarnya.

Meskipun dikenali sebagai seorang yang cukup aktif dengan pelbagai aktiviti riadah di luar seperti mendaki, berbasikal dan sebagainya, Azhan juga mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengisi masa lapang di rumah sepanjang sepanjang seminggu PKP berjalan.

“Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah sebenarnya. Antaranya dengan melayan dan bermain dengan kucing-kucing di rumah yang sebelum ini jarang dapat dilakukan.

“Saya juga mengeluarkan ‘peluh’ dengan aktiviti membersihkan kereta dan motor di rumah.

“Apa yang penting, sepanjang tempoh ini, saya sentiasa memastikan untuk tidak terlepas mengikuti perkembangan terbaru yang dikemas kini berkaitan penularan wabak Koronavirus (Covid-19) menerusi pelbagai platform,” katanya.

Iklan

Berkongsi situasi di Kuala Kubu Baru, kata Azhan, penduduk di kawasan tersebut mematuhi sepenuhnya PKP yang diarahkan kerajaan.

“Pergerakan di sini dari hari pertama sehinggalah hari ini sangat terhad kerana masing-masing mematuhi arahan yang dikeluarkan. Alhamdulillah orang di sini memberi kerjasama yang cukup baik.

“Tak ada pembelian panik. Kat pasar masih boleh dapat barangan basah seperti ikan dan daging dengan mudah. Walaupun tidak banyak, tetapi keperluan mencukupi.

Iklan

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Apabila memberi barangan keperluan, kena beringat dan fikirkan orang lain juga,” katanya.

Sementara itu, Azhan mengharapkan orang ramai untuk terus mematuhi arahan yang dikeluarkan dan sama-sama membantu pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19.

“Saya harap kita semua dapat duduk di rumah dan tidak kemana-mana melainkan ada urusan penting yang berkaitan.

“Beri kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk kepentingan kita bersama,” akhirinya.