PENYANYI Azmi Saat meluahkan rasa terharu apabila dapat menikmati juadah raya hasil air tangan ibunya, meski tidak dapat pulang meraikan Syawal di kampung halamannya di Johor Bahru.

Menurut Azmi, juadah tersebut dikirim ibunya menerusi perkhidmatan syarikat penerbangan Firefly pada Aidifitri lalu.

“Selain dapat berkumpul bersama keluarga, keseronokan raya bagi saya ialah tentang juadahnya dan ibu sangat maklum tentang perkara itu.

“Ibu minta saya senaraikan juadah yang saya teringin nak makan dan dia akan masak serta kirimkan kepada saya di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah walaupun tak dapat balik, merasa juga Ketupat, Rendang, Ayam Masak Merah, Lodeh dan Kuah Kacang masakan ibu,” ujarnya.

Azmi yang juga merupakan vokalis Caliph Buskers berkata, Aidilfitri kali ini hanya diraikan bersama isteri, Nazirah Muhammad dan anggota Caliph Buskers sekali gus mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan.

“Disebabkan masing-masing tak dapat balik beraya di kampung, dapatlah kami beraya bersama di Kuala Lumpur.

“Bukanlah raya beriya pun, cukup sekadar dapat jumpa dan makan bersama-sama sempena Aidilfitri,” katanya.

Azmi bersama isteri, Nazirah Muhammad

Tambah Azmi, apa yang lucunya pada tahun ini buat pertama kalinya dia menempah tiga pasang Baju Melayu untuk sambutan Aidilfitri, sedangkan selama ini hanya membeli baju yang telah siap dan mengulang pakai beberapa kali.

Iklan

“Sebelum ini saya hanya ulang pakai Baju Melayu lama untuk raya kerana hanya pakai sekejap sahaja pada raya pertama.

“Bagaimanapun, pada tahun ini saya tergerak hati untuk tempah tiga pasang Baju Melayu. Selain untuk raya, saya bercadang memakai baju tersebut ketika majlis raya atau program di TV.

“Tak sangka pula kerajaan melaksanakan PKP dan kita semua hanya boleh beraya di rumah sahaja,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Azmi mengakui lega apabila dapat kembali beraksi dalam program MeleTOP selepas beberapa bulan berehat berikutan PKP.

“Alhamdulillah bila dapat kembali bekerja, adalah sedikit pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian.

“Paling lega apabila kami dapat menggunakan bayaran tersebut untuk membayar sewa studio yang juga merupakan tempat berkumpul anggota Caliph Buskers,” katanya.