PERSONALITI fesyen dan pelakon Wak Doyok mengumumkan bakal menutup butik pakaian Starvilion miliknya di Seksyen 7, Shah Alam tidak lama lagi.

Biarpun berat hati dengan keputusan tersebut, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 40, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana berdepan situasi yang mencabar ketika ini.

Berikutan itu, Wak Doyok bakal mengadakan jualan lelong koleksi di butik Starvilion mulai esok, 24 Jun hingga 5 Julai depan.

“Sedih rasa di hati, tapi saya kena kuatkan semangat demi 70 orang adik yang bekerja dengan saya selama tiga tahun di Starvilion. Susah bila keadaan terus menduga macam ni.

“Saya nak bagi perintah tutup syarikat pun sedih, tak sampai hati. Tapi saya minta mereka cuba sekali lagi, jualan yang terakhir dari Starvilion khas untuk pelanggan yang tak jemu-jemu sokong Starvilion selama ini.

“Koleksi yang kami ada semua memang elok dan cantik. Saya terpaksa lelong semua ni! Jadi saya mintak semua tolong kongsi hantaran ini, terima kasih,” tulisnya pada satu hantaran di laman Instagramnya pada Isnin.

Menurut Wak Doyok lagi, Starvilion akan mengadakan jualan lelong semua koleksi dengan harga serendah RM1.

Malah dalam masa yang sama pelakon filem Abang Long Fadhil 2 itu juga turut memberi 5,000 pasang baju Melayu Wak Doyok secara percuma kepada pelanggan di butik Starvilion dan website www.starvilion.com.

Iklan

“Kepada frontliners, jangan lupa datang bawa ID masing masing, ada special rate untuk anda semua dapatkan baju Melayu secara percuma.

“Jualan terakhir Starvilion, Bismilah. Kita tutup dulu, nanti insya-ALLAH kita akan bangkit semula dengan direction yang baru. Insya-ALLAH. Doa-doakan saya dan team Starvilion,” katanya.

 

Iklan

(FOTO: Instagram Wak Doyok)