STESEN radio Suria FM dengan kerjasama syarikat rakaman Nova Music buat pertama kalinya akan menganjurkan konsert secara dalam talian iaitu Konsert Suria Nova Bersama Anda pada 21 April, jam 9.00 malam secara langsung di Facebook Suria FM dan YouTube Nova Music.

Barisan nama popular yang akan menghiasi dan membuat persembahan di Konsert Suria Nova Bersama Anda adalah seperti seperti Hazama, Indah Ruhaila, Idayu, Ezad Lazim, Adira, Amir Masdi, Fiena dan Sofea Arissa.

Bukan itu sahaja, konsert ini juga akan menampilkan penyampai segmen Team Pagi Suria iaitu Ajak, Issey dan Fizi Ali sebagai hos.

Menurut Pengurus Kanan Suria, Cik Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, konsert tersebut diadakan sejajar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki fasa ketiga.

“Bagi menghormati arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang berlanjutan, Suria melihat ini bukanlah satu alasan untuk tidak kekal memberikan selektif program yang menarik kepada peminat dan pendengar setia.

“Jadi, apa yang Suria boleh berikan adalah pendekatan yang terbaik dan berbeza tetapi tetap memberikan hiburan kepada peminat semua.

Iklan

“Bertepatan dengan nama konsert Suria Nova Bersama Anda, walaupun berada di rumah dan tidak dapat bertemu dua mata dengan penyanyi-penyanyi popular ini, kami akan kekal bersama dan memberikan hiburan kepada peminat dan pendengar menerusi platform digital kami,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, boleh layari laman web Suria di www.suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.

Iklan

 

(FOTO: Suria FM)