PELAKON jelita, Anzalna Nasir antara selebriti yang sentiasa bermurah hati melakukan kerja-kerja amal.

Tidak keterlaluan menyifatkan beliau bagaikan ‘tak tenang’ jika membiarkan golongan kurang berkemampuan begitu sahaja tanpa dibantu.

Jika dibelek satu-persatu ada sahaja bentuk bantuan disalurkan oleh pemilik nama sebenar, Nur Anzalna Md Nasir baik kepada individu mahupun badan-badan memerlukan.

Terbaharu, wanita berusia 32 tahun tersebut difahamkan sedang mencari golongan yang layak untuk diberikan sumbangan.

Buktinya, apabila ibu kepada cahaya mata, Mohamad Eidrees Hanif itu memuatkan sekeping foto beserta kapsyen ringkas menerusi laman sosial Instagram baru-baru ini.

anzalna
ANZALNA positif apabila niat untuk menyambut ulang tahun pertama anaknya, Eidrees di Disneyland tidak kesampaian kerana pandemik Covid-19.

“Cadangnya nak bawa seisi keluarga menyambut hari jadi Eidrees yang pertama di Disneyland (tidak dinyatakan lokasi negara), tetapi tiada rezeki.

“Alhamdullilah…duit tiket pun sudah dapat refund. Nasib baik hotel tak tempah lagi.

“Duit bercuti saya nak buat charity. Boleh bagi cadangan kepada siapa nak bagi,” tulis beliau.

Coretan bekas Dewi Remaja 2010 terbabit mendapat perhatian warga net sehingga masing-masing membantu memberikan cadangan.

Iklan

Antaranya, menyarankan wang berkenaan disalurkan kepada ibu bapa yang memiliki anak sakit kronik di hospital bagi menampung kos perubatan, kolaboratif bersama Ustaz Ebit Lew, belanja petugas Pos Laju atau membantu membaiki surau tahfiz yang uzur.

Tidak kurang juga para pengikutnya mengesyorkan Anzalna membantu rumah anak yatim, rumah warga emas dan kucing-kucing jalanan.

Iklan

Justeru, kepada pembaca SinarPlus yang ingin memberikan cadangan bolehlah Direct Message (DM) di Instagram peribadi beliau, @anzalnanasir88.

Terdahulu, isteri kepada Hanif Zaki itu pernah berkongsi rezeki membantu keluarga yang memerlukan lampin pakai buang dan susu.

anzalna
HANIF (kanan) menjalankan tanggungjawab sosial dengan meminjamkan Mitsubishi Triton untuk kerja amal pendakwah, Ustaz Firdaus Wong.

Bahkan, suami tercintanya juga turut melaksanakan usaha murni apabila meminjamkan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton untuk kerja amal pendakwah, Ustaz Firdaus Wong pada fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.