SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu akibat penyebaran wabak pandemic koronavirus (Covid-19), pelbagai cerita pantas viral di media sosial.

Walaupun sudah tujuh hari berlalu, isu pembelian panik (panic buying) masih hangat diperkatakan dan golongan selebriti juga tidak terlepas menjadi sasaran kecaman netizen.

Salah seorang selebriti yang turut terkena tempiasnya adalah Datin Paduka Eina Azman selepas seorang individu mendakwa memborong banyak barang di pasaraya sehingga penuh enam troli.

PAPARAN SKRIN
Eina Azman tidak membuat pembelian panik atau memborong di kala situasi meruncing.

Tidak berdiam diri dengan dakwaan yang dilemparkan, Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 25,  mengakui membuat pembelian sehingga enam troli.

Bagaimanapun barangan itu terbahagi kepada tiga buah rumah iaitu rumahnya sendiri, rumah ibunya dan adik iparnya.

“Pertamanya saya memang beli (barang) enam troli sebab saya beli untuk tiga buah rumah iaitu diri saya, ibu saya dan adik ipar saya yang berkeluarga besar.

Iklan

“Jadi apa masalahnya? Saya tak fikir orang? Kalau saya tak fikir orang, saya tak akan beri bantuan makanan untuk 100 buah rumah sebelum kuarantin.

“Maaf bukan nak riak, saya tanpa ada masalah pun saya sentiasa menolong orang tanpa mengira bangsa atau agama. Jadi jaga diri anda sendiri dan jangan tahu nak mengata atau bercerita hal orang,” jelasnya.

Iklan

Individu terbabit sebelum itu meninggalkan komen di akaun Instagram pelakon Betty Rahmad dan meminta Betty bertanya kepada isteri Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah itu mengapa membeli barangan berlebihan pada tempoh PKP ini.