PULANG awal daripada Inverness, Scotland secara tidak langsung menyelamatkan pelakon Ben Amir apabila dia disahkan negatif daripada jangkitan Covid-19.

Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, dia sudah menjalani pemeriksaan dan pihak hospital memaklumkan keputusannya adalah negatif.

Katanya, dia pulang lebih awal daripada penggambaran Demi iaitu pada 27 Mac lalu berbanding semua kru dan pelakon yang pulang ke tanah air pada 31 Mac lalu.

“Sekembali di sini, saya melakukan kuarantin diri di rumah. Saya kemudian membuat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Damansara dan keesokannya saya disahkan negatif wabak itu.

“Alhamdulillah setakat ini keadaan saya baik-baik saja. Tiada sebarang gejala dijangkiti wabak ini selepas pulang ke tanah air,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Iklan

Terdahulu, pengarah drama itu, Rahila Ali dan salah seorang pelakon drama itu, Puteri Aishah disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland pada 31 Mac lalu. Turut positif kru penggambaran drama itu.

Selain Ben dan Puteri, antara pelakon lain yang menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.

Iklan

Drama Demi adalah diadaptasi daripada novel yang diterbitkan 26 episod bagi siaran RTM.