BIARPUN  kemelut isu pembayaran teater Korupsi Dewan Semandung belum selesai, pengarah dan pelakon Khir Rahman mengakui tetap profesional apabila ditemukan dengan Ogy Ahmad di lokasi penggambaran telefilem Pencipta Pegang Waktu.  

Menurut Khir atau nama sebenarnya Khairulizam Abdul Rahman, 47, ramai yang kembali bertanyakan tentang isu tersebut apabila mendapat tahu dia dan Ogy boleh bekerja bersama.

“Ramai yang DM (direct message) dan whatsaspp, tanya saya adakah dia dah bayar atau belum dan saya cakap belum.

“Saya cuba bersikap profesional dalam kerja saya. Secara peribadi, saya tak ada dendam atau buat benda-benda yang tak baik.

“Saya masih mengamalkan apa yang saya buat iaitu setiap malam sebelum tidur kita maafkan semua orang.

“Saya buat macam biasa. Kalau dia nak rasa salah tu, saya tak tahulah. Tapi saya rasa kak Ogy pun dalam hal ini, dia cuba bersikap profesional dan dia buat kerja dia,” ujarnya.

Bagaimanapun, Khir yang membuat perkongsian tersebut menerusi IG TV miliknya ketika berada di lokasi penggambaran telefilem tersebut  berkata, dia tetap akan menuntut haknya dan rakan-rakan selagi ia tidak diselesaikan oleh Ogy selaku penerbit teater tersebut.

“Saya tetap akan menuntut hak dan duit saya. Sebelum ini  ramai orang yang berhutang dengan saya dalam teater, tetapi saya dah tak kuasa (nak tuntut) dan dah lupakan.

“Saya boleh buat begitu kerana teater yang lepas-lepas itu adalah atas kapasiti diri saya sendiri.

Iklan

“Kali ini (teater Korupsi Dewan Semandung), saya tak boleh ambil kira diri saya sahaja, tetapi fikirkan industri dan kawan-kawan saya yang terlibat di mana mereka buat demi saya. Jadi saya kena berjuang kat sini, menuntut hak kami,” tegas Khir.

Selain Khir dan Ogy, telefilem khas sempena sambutan hari raya Aidiladha yang bakal disiarkan di TV3 itu turut dibintangi Que Haidar.

Pada Mei lalu, beberapa orang pelakon, termasuk penulis skrip teater Korupsi Dewan Semandung mendedahkan tidak menerima bayaran penuh sebagaimana dijanjikan oleh pihak penerbit teater berkenaan.

Iklan

Isu berkenaan masih berlarutan sehingga hari ini dan difahamkan bayaran tersebut masih lagi tertunggak.

 

(FOTO: Instagram Khir Rahman)