AHLI kumpulan K-Pop Top Secret (TST), Yohan disahkan meninggal dunia pada Selasa.

Bagaimanapun menurut laporan Koreaboo, punca kematian bintang berusia 28 tahun itu tidak didedahkan.

Agensi yang mewakili kumpulan itu, KJ Music Entertainment, mengumumkan berita sedih tersebut dalam satu kenyataan.

“Kami bawa khabar mendukacitakan. Ahli TST, Yohan, meninggal dunia pada 16 Jun.

“Keluarga mendiang amat sedih ketika ini. Kami minta pihak media agar hentikan penyebaran khabar angin dan spekulasi berhubung punca kematiannya.”

Mendiang membuat kemunculan pertama pada 2015 bersama kumpulan NOM sebelum menyertai TST pada 2017. Terbaru, TST mengeluarkan album Countdown pada Januari lalu.

Ruangan komen pada gambar terakhir yang dimuat naik oleh Yohan di akaun Instagram miliknya dua minggu lalu, kini dipenuhi kata-kata sedih yang diluahkan peminat.

Upacara pengebumian Yohan akan berlangsung di Tanah Perkuburan Taman Katolik Yongin, pada 18 Jun (esok).