Black buat permohonan maaf secara terbuka

March 31, 2020
Wawann Mohd

PENYANYI Black, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berikutan kenyataan yang dibuat di laman Instagramnya baru-baru ini berhubung bantuan khas untuk penggiat seni.

Tidak mahu memanjangkan perkara tersebut, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 33, mengakui cara penyampaiannya mungkin salah, walaupun niatnya adalah untuk membantu.

“Baru-baru ini saya ada mengeluarkan satu kenyataan yang membuatkan ramai orang tidak selesa dan marah dengan kenyataan saya itu.

“Niat saya untuk membantu, tapi mungkin cara penyampaian saya itu salah dan ada komen-komen saya itu yang membuatkan orang lain marah.

“Jadi saya ingin memohon maaf secara terbuka dia atas kesilapan saya. Saya manusia biasa dan turut melakukan kesilapan,” ujar Black menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Instagramnya semalam.

Menerusi permohoan maaf itu juga, Black turut memohon agar warganet menghentikan komen-komen negatif terhadapnya dan keluarga.

“Saya harap netizen di luar sana menghentikan komen-komen yang tidak baik ke atas saya dan keluarga saya.

“Di sini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri kita iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan hak sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, jangan gaduh-gaduh lagi, stay at home,” luah Black.

Terdahulu sebelum itu, Black menerima kecaman ramai apabila menyuarakan pandangannya berkenaan bantuan khas kepada penggiat seni tanah air yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Warganet yang tidak berpuast hati dengan kenyataan tersebut kerana menganggap golongan artis tidak sepatutnya memohon bantuan khas itu, bertindak ‘menyerang’ penyanyi itu media sosial.

 

(FOTO: Instagram Black)

About Wawann Mohd

Biodata Penulis