Cara buat Popia Vietnam dan sos dengan mudah

Popia Vietnam
May 20, 2020
Oleh Nurulfatiha

POPIA Vietnam merupakan antara makanan pembuka selera yang berasal dari Vietnam, namun semakin popular di Malaysia.

Apa yang membezakannya dengan popia yang biasa kita makan di sini adalah bahan-bahannya seperti udang, ketam dan sayuran semuanya dihidang segar dan kemudian digulung menggunakan rice paper.

Ini adalah cara untuk membuat Popia Vietnam dan sos pencicah yang sedap dan mudah untuk anda buat sendiri di rumah.

BAHAN UNTUK POPIA

1 paket kulit popia Vietnam
100 hirisan isi dada ayam (rebus dan tos)
200gm isi udang yang dibuang kepala dan kulit (celur)
100gm bihun (celur)
Tauge secukupnya
Daun selasih secukupnya
Daun pudina secukupnya
Daun salad secukupnya (potong kecil)
Daun ketumbar secukupnya (hiris)
1 mangkuk air suam (guna mangkuk atau pinggan yang muat untuk celup kulit popia)

BAHAN UNTUK SOS

5 biji cili padi merah dan hijau (hiris halus)
2 ulas bawang putih (cincang halus)
1 sudu makan gula
3 sudu makan jus lemon
2 sudu makan sos ikan
3 sudu makan air panas

CARA- CARANYA

1) Siapkan semua bahan popia dalam pinggan dan susun berdekatan.

2) Untuk menyediakan popia ini, ambil sekeping kulit popia dan celupkan di dalam air suam seketika. Angkat dan letakkan di atas papan pemotong atau pinggan.

3)Kemudian susun daun selasih, daun pudina, daun salad, daun ketumbar, tauge, bihun, isi ayam dan isi udang.

Iklan

4) Kemudian, lipatkan kiri dan kanan kulit popia serta gulung hingga ke hujung seperti buat popia biasa.

5) Masukkan dalam bekas dan ulang proses sehingga bahan habis.

6) Untuk menyediakan sos, campurkan semua bahan dan kacau rata.

7) Setelah siap hidangkan bersama popia yang telah siap digulung tadi.

Iklan

Siap!

Memang mudah cara membuat popia Vietnam ini. Rasanya cukup segar apabila dinikmati dengan sos. Siapa yang sebelum ini tak suka sayur pun mesti akan suka juga makan popia ini.

Ia juga merupakan pilihan hidangan yang amat sihat bagi anda yang ingin berdiet. Kalau nak tukar-tukar selera, boleh ubah intinya ikut citarasa anda.

Selamat mencuba!

PENULIS: NURUL ADRIANA

FOTO: FACEBOOK

About Nurulfatiha

Biodata Penulis