PASTI anda masih ingat dengan melodi lagu Bingo, Pak Atan dan Mengantuknya Mumia yang mana sebelum ini popular dalam kalangan kanak-kanak.

Sinar Plus juga percaya bukan setakat kanak-kanak sahaja, malahan orang dewasa juga pasti menghafal dan mengingati setiap bait bait lirik lagu tersebut ekoran ramai yang membuat video terutama di aplikasi TikTok.

Terbaharu, siri animasi popular kanak-kanak, Didi & Friends, mengajar tiga langkah mudah untuk rakyat terutamanya kanak-kanak bagi menjaga kebersihan dan memerangi virus COVID-19 dalam lagu dan muzik video berjudul ‘Jom Lawan Coronavirus’.

Dalam usaha menyahut saranan kerajaan menyeru rakyat untuk sentiasa mengamalkan langkah pencegahan, lagu dan video muzik itu menampilkan tiga langkah mudah untuk mencegah jangkitan virus COVID-19.

“Lagu berdurasi dua minit itu menyaksikan Didi, Nana dan Jojo serta rakan-rakan lain menari sambil menyanyi tentang pentingnya menjaga kebersihan dalam memerangi virus dan bakteria merbahaya,” menurut satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Lagu istimewa itu ditulis dan diterbitkan oleh Digital Durian bersama komposer terkenal, Omar K. Lagu ini juga boleh dinikmati dalam versi Bahasa Inggeris bertajuk ‘Fight Coronavirus’.

Iklan

Kedua-dua versi video tersebut boleh ditonton di halaman YouTube.

Iklan

Kemaskini video muzik tersebut setakat ini mendapat lebih 738,000 tontonan.

Semoga lagu berunsur pendidikan ini dapat membantu para ibu bapa khususnya untuk mengajar anak-anak dengan lebih berkesan agar sentiasa mementingkan penjagaan kebersihan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19!