LEBIH sebulan melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Catriona Ross mengakui dia kini semakin dapat menyesuaikan diri dengan rutin baharu yang tidak pernah dijalani sebelum ini.

Meskipun kerjaya seni terpaksa ditangguhkan dan aktiviti di luar kini terhenti, pemilik nama sebenar Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 40, tetapi tenang dan seronok menajalani kehidupan di rumah bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti.

Menurut pelakon Pujaan Hati Kanda itu, dia kini mempunyai minat baharu dengan bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman di ruang balkoni rumah.

“Apabila PKP dilaksanakan, saya cuba menghadkan pergerakan keluar rumah termasuk untuk membeli barangan keperluan dapur. Kalau keluar, terus beli banyak kerana tidak mahu keluar banyak kali.

“Bagaimanapun, ada bahan-bahan untuk masakan yang tidak tak boleh simpan lama. Jadi dari situ saya terdetik untuk menanam sendiri beberapa jenis tanaman yang boleh saya gunakan dalam masakan seperti pokok pandan, serai, cili, pegaga dan lain-lain.

“Alhamdulillah saya semakin bersemangat apabila tanaman tersebut menjadi dan memberikan hasil yang boleh digunakan dalam masakan terutamanya pada bulan puasa ini,” ujarnya kepada Sinar Plus.

Tidak hanya itu, Catriona juga memanfaatkan masa lapangnya sepanjang PKP dengan menghasilkan video untuk menyampaikan pelbagai mesej penting berkenaan pandemik Koronavirus (Covid-19).

Karakter wanita kampung bernama Kak Kek dari Pattani, Thailand mencuri perhatian ramai dalam video Catriona di Instagram.

Video yang dimuat naik di laman Instagramnya itu ternyata mencurik perhatian ramai apabila ibu kepada tiga anak itu menampilkan sketsa menggunakan dialek Kelantan menerusi karakter wanita kampung bernama Kak Kek dari Pattani, Thailand.

“Idea menghasilkan video tercetus secara spontan apabila anak perempuan saya teringin makan sejenis sate ikan yang dikenali sebagai LokChing di Thailand tetapi tidak lagi dijual kerana PKP.

“Jadi saya buat video tentang perkara tersebut dan kongsi dalam grup WhatsApp rakan-rakan. Mereka pula menyarankan saya untuk memuat-naik di Instagram (IG) kerana content itu sesuai dengan semua orang.

“Apa yang mengejutkan saya, video tersebut mendapat reaksi luar biasa daripada pengikut di IG yang rata-ratanya mengakui terhibur dan mahu saya menghasilkan lebih banyak video sebegitu,” katanya.

Tambah Catriona, disebabkan sambutan hebat itu, dia cuba menggunakan peluang tersebut untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya Covid-19 dengan caranya yang tersendiri.

“Video tersebut menjadi perhatian kerana menampilkan content semasa dan  disampaikan dengan karakter lucu menggunakan cara percakapan orang kampung yang dekat dengan kebanyakan kita.

Iklan

“Dalam masa yang sama, mungkin ramai yang terkejut dengan sisi berbeza saya dalam video tersebut kerana sebelum ini orang kenal saya sebagai seorang seorang yang serius dan sentiasa menjaga perlakuan.

“Saya langsung tak menyangka pengikut di IG naik mendadak biarpun video tersebut dihasilkan bukan untuk tujuan itu. Apa pun, bila semakin pengikut, tanggungjawab saya jadi lebih besar untuk berkongsi perkara bermanfaat buat semua,” katanya.

Ramadan yang berbeza

Menyentuh tentang sambutan Ramadan yang kali ini disambut dalam keadaan yang cukup berbeza, malah tidak pernah dilalui sebelum ini, kata Catriona, dia percaya kepada hikmah yang datang bersama.

“Memang ramadan kali ini sangat berbeza untuk kita semua. Bagaimanapun, puasa tetap puasa dan kita boleh lalui situasi ini dengan cara dan rutin baharu.

Iklan

“Insya-ALLAH Ramadan kali ini lebih tenang dan bemakna apabila tidak perlu lagi terkejar-kejar dengan perkara lain di luar. Malah semua aktiviti sepanjang bulan mulia ini kita lakukan bersama keluarga.

“Cuma mungkin kita akan terasa dan rindu untuk solat terawih beramai-ramai di masjid sebagaimana kebiasaaan Ramadan sebelum ini,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Catriona Ross)